Oyen selamba buang hajat atas ‘spoiler’ ribuan ringgit, tak sangka ini reaksi pemilik Lamborghini

Oleh WAN SITI AMINAH

“Kalau tak cari fasal, memang bukan Oyen namanya,” itulah reaksi penonton selepas melihat satu rakaman tular yang memaparkan gelagat seekor kucing berbulu jingga.

Menerusi satu hantaran di platform TikTok, seorang pemilik kereta mewah berkongsi rakaman memperlihatkan seekor kucing yang sedang ‘melepak’ atas kenderaannya.

Lamborghini miliknya itu dikatakan sering dijadikan lokasi berehat oleh Oyen terbabit walaupun masih banyak lagi kenderaan lain diparkirkan di tempat letak kereta tersebut.

Meskipun Oyen terbabit pernah memancut kencing di kereta mewah keluaran Itali itu, namun pemiliknya tidak menghalau malah membiarkan haiwan berkenaan berehat.

Tiada siapa menduga bahawa tindakan pemilik itu malah memakan diri apabila Oyen terbabit meninggalkan ‘hadiah’ yang tidak disangka-sangka di atas aksesori keretanya.

Dalam rakaman itu, pemilik berkenaan memperlihatkan najis ditinggalkan oleh Oyen terbabit di atas spoiler kenderaan miliknya yang berharga mencecah ribuan ringgit.

Pemilik itu bagaimanapun kedengaran tenang dan langsung tidak beremosi malahan seakan mengganggap bahawa kejadian berkenaan sebagai sesuatu yang lucu sahaja.

“Tengoklah, macam mana aku tak tertekan. Kucing ini dia sudah ‘landing’ dekat sini. Selepas itu dia berak atas spoiler. Sudahlah dia selalu kencing dekat atas kereta. Ha, nampak itu kesan tapak kaki dia.

“Dia pilih Lambo (Lamborghini) masalahnya. Ini memang sudah tahap kurang ajar. Tetapi nak buat macam mana, benda sudah ada dekat situ. Yang tinggal kena basuh sahajalah,” kata pemilik berkenaan dalam nada reda.

Rakaman itu berjaya menarik perhatian ramai pengguna TikTok yang kagum dengan reaksi pemilik Lamborghini terbabit kerana tetap kelihatan tenang meskipun sedang diuji.

Netizen turut memberikan kiriman doa supaya pemilik terbabit dimurahkan rezeki dan dipermudahkan urusan kerana tidak berdendam dengan binatang kesayangan Rasullulah SAW.

Baca juga: Wanita Malaysia tertekan lepas berkahwin dengan warga asing, dijadikan ‘bank’ untuk buat pinjaman