Berdepan dengan masalah tabung hilang, ahli jawatankuasa (AJK) dari sebuah masjid tempatan memutuskan untuk mengutip derma menggunakan kod QR.
Hal ini kerana, tabung sedekah yang telah disediakan oleh AJK masjid berkenaan sering lesap akibat dicuri oleh individu tidak bertanggungjawab.
Walaupun pelbagai langkah pencegahan dilakukan seperti merantai dan menukar kepada tabung besi, namun kecurian masih tetap berlaku.
Puas mencari jalan penyelesaian, mereka akhirnya mencapai kata persetujuan untuk menggunakan kod QR bagi mengutip derma.
Selamat dan menjimatkan kos, pemindahan terus ke akaun bank juga membenarkan penyaluran dana berlaku dengan lebih telus.
Berjaya menyelesaikan masalah, proses pendermaan berjalan dengan lancar selama tiga hingga empat bulan pertama setelah kod QR mula diguna.
Selain mendorong para jemaah masjid untuk menderma, inisiatif baharu ini juga berhasil meningkatkan jumlah sumbangan.
“Alhamdulillah, selepas kaedah itu dilancarkan, dalam tempoh tiga hingga empat bulan, wang tabungan semakin bertambah.
“Kami gembira kerana teknologi ini lebih menggalakkan jemaah menderma,” kata salah seorang AJK memetik Sinar Harian.
Enam bulan selepas kaedah tersebut dilancarkan, timbul pula isu baharu apabila mereka mendapati tiada sumbangan diterima dalam tempoh lebih 30 hari.
Kejutnya bukan kepalang, rupa-rupanya ada individu yang tidak bertanggungjawab telah menukar paparan kod QR milik akaun bank masjid.
Meletakkan kod QR milik akaun bank persendirian, taktik licik individu berkenaan dikesan apabila salah seorang AJK masjid cuba menderma.
“Kami tepuk dahi, terkesima dan tak tahu nak cakap apa. Memang perompak zaman moden ini canggih dan tak takut dengan dosa,” ulasnya.
Baca juga: Kecoh budak kena culik depan sekolah, rupanya mak mentua dengan bekas menantu berebut anak