Sahabat kepada penyanyi, Amira Othman meluahkan rasa lega berikutan tidak perlu lagi menyimpan rahsia selepas selebriti itu mengesahkan khabar pernikahannya dengan pelakon popular iaitu Fattah Amin pada Ahad ini.
Perkongsian itu dibuat oleh salah seorang sahabat Amira yang dikenali sebagai Nellysa menerusi hantaran video di platform Instagram memaparkan suasana ‘bachelorette party’ iaitu majlis untuk meraikan bakal pengantin.
Dalam video berdurasi 58 saat itu, terlihat pemilik nama sebenar Nadia Amira Othman memakai baju dan tudung berwarna putih dikelilingi rakan-rakannya yang semuanya mengenakan pakaian serba biru.
Amira juga nampaknya terharu dan gembira menerima kejutan daripada rakannya dalam acara berkonsep intim itu sebagai kenangan sebelum penyanyi berusia 32 tahun terbabit melangkah ke alam perkahwinan.
Menerusi ruangan kapsyen, Nellysa menyifatkan Amira sebagai ‘bukti nyata’ bahawa kesabaran itu adalah sebuah kemanisan dan Allah SWT akan membalas hati-hati yang sabar dengan anugerah paling terindah.
“Allahumma Barik. Lama simpan rahsia ini, akhirnya boleh dikongsikan. Kepada pemilik jiwa yang seindah awak, saya dan kita semua sangat gembira untuk awak. Saya sudah melihat awak berada di tahap terendah.
“Tetapi sekarang, saya tidak sabar untuk melihat awak di tahap yang paling gembira. Awak memang benar-benar layak mendapat yang terbaik. Alhamdulillah. Tahniah Ya (Amira) dan Fattah!,” katanya dalam perkongsian itu.
Nellysa juga tidak lupa mendoakan supaya rumah tangga Amira dan Fattah kelak dilimpahkan dengan Mawaddah, Rahmah (kemesraan dan kasih sayang), keberkatan serta sentiasa berada dalam lindungan Ilahi.
Terdahulu, Fattah atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin tampil membuat kejutan dalam satu sidang media untuk melamar Amira secara terbuka sekali gus menamatkan spekulasi hubungan mereka.
Sidang media itu diadakan semalam sempena pelancaran video muzik rasmi untuk single duet terbaharu Rasa dan Takdir didendangkan oleh Amira dan adiknya yang juga penyanyi iaitu Irfan Haris di sebuah hotel di ibu kota.
Majlis perkahwinan mereka berdua akan diadakan pada 14 September ini sempena ulang tahun kelahiran Fattah yang mana acara tersebut akan disiarkan secara langsung pada Ahad ini sekitar jam 9 malam.
Sekadar info, Fattah pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon popular Nur Fazura pada 27 November 2017 sebelum sah bercerai talak satu pada 7 Oktober tahun lalu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling.
Hasil perkongsian hidup selama tujuh tahun, pasangan tersebut dikurniakan dengan kehadiran seorang cahaya mata perempuan iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.
Baca juga: ‘Ada pengarah minta bayaran sampai RM1 juta’ – Hans dedah jurang bayaran penggiat seni