Pasangan suami isteri mengaku tinggal bayi baru lahir di kedai makan, dipenjara 6 bulan

Oleh MALAYSIADATELINE

Sepasang suami isteri dijatuhkan hukuman penjara enam bulan di Mahkamah Majistret Yong Peng, hari ini selepas mengaku bersalah membuang bayi yang baru dilahirkan di sebuah gerai makan pada hujung tahun lalu.

Tertuduh iaitu Muhammad Aiman Kamalludin, 23, dan isterinya, Nurelly Fazreen Mohamad Mosnin, 22, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.

Mengikut pertuduhan, Muhammad Aiman yang bekerja sebagai kelindan lori bersama Nurelly Fazreen sebagai ibu bapa, meninggalkan bayi di dalam kotak dibalut dengan kain batik bersama niat membuangnya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan oleh pasangan terbabit di sebuah kedai makan di kawasan perindustrian Taman Kota Yong Peng, Batu Pahat pada 15 dan 16 Disember tahun lalu di antara pukul 2.15 petang hingga 5 pagi.

Berdasarkan fakta kes, seorang wanita yang juga peniaga gerai makan berusia 43 tahun membuat laporan polis memaklumkan penemuan bayi perempuan baru lahir yang ditinggalkan di tempat meletak lauk di dalam kotak.

Polis polis kemudian bertindak di atas laporan itu dengan menjalankan siasatan berhubung kes pembuangan bayi terbabit yang mana khabar penemuannya turut tersebar luas di platform media sosial.

Ibu kepada salah seorang tertuduh itu kemudian terlihat berita penemuan tersebut sebelum mengecam bahawa kain batik yang digunakan untuk membalut bayi berkenaan seakan-akan miliknya.

Perkara itu sekali gus membawa kepada penangkapan kedua-dua tertuduh yang ketika itu belum bergelar suami isteri bagaimanapun mereka berdua difahamkan baru berkahwin pada Februari lalu.

Sampel darah yang ditemukan pada bayi dan kedua-dua tertuduh kemudian diambil pihak polis untuk dianalisa sebelum hasil keputusan ujian mendapat ianya sepadan, lapor Berita Harian.

Siasatan juga mendapati tertuduh wanita melahirkan bayi berkenaan di dalam bilik di sebuah rumah sekitar jam 2.15 petang pada 15 Disember tahun lalu sebelum mereka berdua bersama-sama membuangnya.

“Saya nak balik…saya nak balik,” demikian rayuan tertuduh wanita selepas dirinya dan suami dijatuhkan hukuman penjara selama enam bulan oleh pihak mahkamah berkuat kuasa pada hari sabitan iaitu hari ini.

Sekadar info, pihak pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip manakala kedua-dua tertuduh itu pula tidak diwakili dengan peguam.

Baca juga: Air Kelantan Sdn Bhd berdepan tunggakan bil elektrik RM61 juta, 198 akaun terlibat