Seorang pelajar universiti swasta yang dilaporkan maut akibat terjatuh dari tingkat 35 kondominium terletak di Taman Melati, Kuala Lumpur pada 20 Ogos lalu rupanya sempat menghantar pesanan terakhir kepada ibunya.
Menerusi pesanan dipercayai dihantar sebelum kejadian berlaku itu, mendiang Guo Junhao menghantar kata-kata ringkas memohon maaf kepada ibunya di atas kesilapan yang pernah dilakukannya sebelum ini.
Tangkap layar memaparkan perbualan antara mendiang yang berusia 21 tahun itu bersama ibunya melalui aplikasi Whatsapp kemudian tular di platform media sosial sejak semalam, lapor Kosmo.
Difahamkan, mendiang turut menghubungi beberapa saudaranya untuk mengungkapkan rasa kasih sayang dan penghargaan kepada mereka beberapa minit sebelum jasadnya dijumpai.
“Mama, maafkan saya. Saya sayangkan mama,” tulis mendiang dalam pesanan yang dihantar pada sekitar jam 8.45 malam itu sebelum beberapa kali dihubungi ibunya namun panggilan tersebut tidak berangkat.
Terdahulu, dua pelajar Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman (TAR UMT) dilaporkan maut selepas terjatuh dari tempat tinggi melalui dua kejadian berasingan dalam tempoh 24 jam pada 20 Ogos lalu.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, kejadian pertama membabitkan seorang wanita berusia 22 tahun yang jatuh dari tingkat 22 kondominium pada sekitar jam 6.48 pagi dan jasadnya dijumpai di tingkat lapan.
“Dalam kejadian kedua pada pukul 9.35 malam, seorang lelaki berusia 21 tahun ditemukan maut selepas jatuh dari tingkat 35 kondominium yang sama,” katanya memetik laporan Kosmo.
Jelasnya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian kedua-dua mangsa adalah disebabkan kecederaan yang pelbagai akibat terjatuh dari tempat tinggi dan pemeriksaan di lokasi kejadian pula tidak menemukan sebarang unsur jenayah.