Pelanggan tak bayar makanan, siap minta bungkus lagi, pekerja pula terpaksa tanggung rugi RM845

Oleh MAISARAH AISYA

Masih ada segelintir pelanggan yang tergamak makan di kedai dan tidak membayarnya, malah pekerja pula terpaksa menanggung kerugian.

Menururt portal Stomp, seorang pekerja sebuah restoran makanan laut di Outram Road, Singapura terpaksa mencari semula pelanggan yang tidak membayar juadah mereka.

Bukan sedikit amaun yang perlu diganti, pasangan suami isteri dalam lingkungan 40-an itu memesan juadah bernilai SG$245.60 (RM845.60).

Kejadian tersebut dikatakan berlaku pada 25 Ogos lalu dan dua pelanggan itu dikatakan memasuki premis menjelang waktu penutupan.

Pelanggan tersebut memesan hidangan istimewa seperti ikan kukus Hong Kong, bayam tiga telur, ayam kukus, nasi dan dua minuman di samping ikan sebelah seberat lebih 1 kilogram.

Resit pasangan tersebut.

“Cef menyediakan makanan untuk mereka pada saat-saat akhir.

“Seorang lagi pekerja dan saya juga terpaksa melakukan kerja lebih masa disebabkan mereka,” ujar pekerja tersebut kepada Shin Min Daily News.

Selepas makan hampir sejam, pasangan itu meminta untuk membawa balik makanan kerana mereka tidak dapat menghabiskannya.

Saya fikir pasangan itu sudah membuat bayaran. Saya meletakkan kotak bawa pulang di atas meja.

“Pasangan itu mengambil makanan dan beredar dengan menaiki teksi kuning,” tambahnya.

Menerusi rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) restoran berkenaan, dapat dilihat pelanggan tersebut berbual riang dan kelihatan tenang.

Pekerja itu juga berkata, dia terpaksa membayar bil pasangan tersebut menggunakan duit poketnya sendiri.

Dia berharap mereka boleh kembali untuk membayar balik wang itu secepat mungkin namun kelibat lelaki dan perempuan berkenaan masih tidak kelihatan.

Baca juga: “Peminat sekarang kurang ajar dan bodoh” – Zainal Abidin berang dipanggil pak cik tua, kubur memanggil