Kebanyakan peminat fanatik artis memilih untuk meninggalkan komen tanpa memikirkan perasaan dan akibat kata-kata tersebut terhadap orang lain.
Penyanyi lagu Hijau, Datuk Zainal Abidin berang dengan sikap segelintir peminat yang terlalu taksub dengan artis dan menyifatkannya sebagai kurang ajar dan bodoh.
Menurut Berita Harian, kenyataan tersebut dikeluarkan Zainal berikutan marah dengan sifat ditunjukkan peminat ketika menulis komen dalam media sosial.
“Peminat sekarang kurang ajar dan bodoh. Mereka selalunya memuat naik dahulu, kemudiannya baru fikir.
“Cubalah fikir dahulu, baru muat naik komen. Kalau nasihat dan tegur baik-baik, saya terima, tetapi saya pula dihentam.
“Sehingga ada yang panggil saya sebagai pakcik tua nak mampus, kubur dah panggil,” katanya seperti dipetik BH Online.
Disebabkan itu, Zainal mengharapkan agar peminat lebih menjaga adab kerana kata-kata kesat tidak akan mengubah seseorang.
“Janganlah guna bahasa kasar sebegitu. Daripada saya nak dengar nasihat, terus berubah jadi benci.
“Kita orang Melayu, beragama Islam yang ada adab dan adat.
“Walaupun anda ustaz sekalipun, kalau tiada adab baik, saya tetap tak dapat terima,” ujar penyanyi terkenal itu.
Terdahulu, Zainal menerima kecaman teruk oleh peminat fanatik kepada seorang penyanyi wanita selepas tindakannya menegur gaya fesyen artis itu yang disifatkan keterlaluan.