Pempengaruh ditahan Maritim Malaysia, bawa kereta ke laut untuk tujuan penggambaran

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang pempengaruh media sosial ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di Kuala Terengganu semalam atas tindakannya membawa sebuah kereta ke laut untuk tujuan penggambaran.

Menurut Pengarah Maritim Terengganu, Kapten Maritim Hamiludin Che Awang, pempengaruh itu ditahan pada jam 6 petang ketika berada dalam jarak 16 batu nautika barat laut Kuala Terengganu berhampiran Pulau Bidong.

Jelasnya, tindakan pempengaruh itu meletakkan kereta di atas platform yang ditarik dengan menggunakan sebuah bot penumpang adalah satu kesalahan mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO).

Perkara yang lebih membimbangkan adalah platform itu dibina tanpa peralatan keselamatan dan dikhuatiri boleh menimbulkan risiko berlakunya kejadian tidak diingini kepada kru, penumpang serta pengguna perairan lain.

Hamiludin juga memaklumkan bahawa dalam Operasi Imam itu, pihaknya turut menahan sebuah lagi bot yang mengiringi penggambaran tersebut kerana beroperasi tanpa lesen sah dari Jabatan Laut, lapor Berita Harian.

Kedua-dua buah bot, pempengaruh, kru dan penumpang masing-masingnya berusia 21 hingga 32 tahun yang mana kesemua mereka adalah warga tempatan telah ditahan pihak berkuasa untuk tujuan siasatan lanjut.

“Bot bersama kru dan penumpang dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Terengganu sekitar jam 2 pagi tadi untuk siasatan lanjut. Kes akan disiasat mengikut Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

“Kerana telah melanggar syarat sah lesen, beroperasi tanpa lesen sah dan melakukan aktiviti penundaan tanpa kebenaran,” katanya memetik laporan Berita Harian yang memberitahu penahanan melibatkan enam kru termasuk nakhoda dan enam penumpang.

Tegasnya, Maritim Malaysia serius dalam memastikan keselamatan perairan negara khususnya di Terengganu terus terpelihara dan tidak berkompromi terhadap mana-mana pihak melanggar undang-undang maritim.

Mengulas lanjut, pihaknya mengakui menyokong aktiviti pelancongan dan kreativiti anak muda dengan syarat ia mesti dilakukan mengikut peraturan demi keselamatan nyawa serta kelestarian sektor maritim negara.

“Orang ramai yang ada maklumat aktiviti jenayah atau pelanggaran undang-undang maritim di perairan Terengganu perlu menyalurkan segera ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Terengganu di talian 09-6224357.” Ujarnya lagi.

Baca juga: SARA catat RM117.1 juta jualan pada hari keempat, 1.8 juta penerima manfaat