Pendakwah dituduh buat amang seksual 2 remaja lelaki – Ruang tamu dan tandas jadi ‘port’

Oleh ARIF ATAN

Seorang pendakwah selebriti dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini, atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai lepas.

Dia melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap mangsa terbabit di ruang tamu dan tandas di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai.

Azman Syah Alias atau dikenali sebagai PU Azman bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin Surita Budin selepas kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Lapor Berita Harian, berdasarkan tiga pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dengan melakukan perbuatan kelucahan melampau termasuk merangsang mangsa berusia 17 tahun di ruang tamu dan tandas di sebuah rumah di Taman Tiara Sendayan di Nilai pada 6 Julai 2022 antara jam 3 pagi hingga jam 5 pagi.

Tertuduh yang berusia 41 tahun turut melakukan perbuatan sama terhadap mangsa berusia 16 tahun 10 bulan yang dilakukan pada 6 Julai 2022, antara jam 3 pagi hingga jam 5 pagi di ruang tamu rumah sama dan pada 5 Februari 2022, antara kira-kira jam 8.30 malam hingga 12 tengah malam.

Sehubungan itu, PU Azman didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga disebat.

Baca Artikel Penuh