Kes sumbang mahram yang berlaku dalam kalangan keluarga dilihat semakin membimbangkan apabila jumlah laporan berkaitan kejadian tersebut kian meningkat dari semasa ke semasa.
Ini sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan dan kesejahteraan institusi kekeluargaan.
Penemuan seorang bayi lelaki yang ditinggalkan di belakang sebuah rumah di Kampung Alor Lintang Besut membongkar kes sumbang mahram Ahad lalu.
Kes tersebut melibatkan seorang remaja perempuan dan adik lelakinya lapor Sinar Harian.
Pemangku Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintenden Md Sani Md Saleh berkata, hasil siasatan mendapati bayi berkenaan adalah hasil hubungan terlarang remaja perempuan berusia 16 itu yang dilahirkan secara rahsia.
“Sejurus selepas dilahirkan, bayi itu dilaporkan telah dibuang oleh suspek sebelum ditemui oleh salah seorang penghuni rumah di situ,” katanya dalam satu kenyataan.
Berikutan itu, polis telah menahan reman seorang remaja lelaki berusia 14 tahun sehingga tujuh hari bermula Isnin bagi membantu siasatan.
“Mahkamah membenarkan lelaki tersebut ditahan untuk siasatan menyeluruh berhubung kes itu.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan berkaitan dengan kesalahan membuang bayi, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun.
”Siasatan turut dijalankan bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan kerana perbuatan sumbang mahram, iaitu hubungan seks oleh individu yang tidak dibenarkan berkahwin oleh hukum agama.
“Seksyen ini membawa hukuman penjara yang sangat berat, iaitu tidak kurang dari enam tahun dan tidak lebih 20 tahun, serta sebatan,” ujar beliau.
Tegasnya, perbuatan membuang bayi ini adalah tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan bercanggah dengan hukum agama.
Orang ramai turut dinasihati untuk tidak menyebarkan maklumat palsu di media sosial berkenaan kes tersebut agar tidak menggangu siasatan.
Baca juga: Khairul Aming nafi tapis pekerja ikut bangsa, jelas punca ramai kakitangan Melayu