Pengumuman Anwar strategi jangka pendek pacu ekonomi – Pakar

Oleh KIM SYAZIE

Pengumuman insentif oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam disifatkan sebagai langkah jangka pendek yang mampu merangsang pertumbuhan ekonomi negara.

Menurut pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai, pendekatan itu berupaya meningkatkan keyakinan rakyat serta mencetuskan sentimen positif yang penting bagi memacu aktiviti ekonomi tempatan.

“Ini strategi jangka pendek untuk meningkatkan keyakinan dan sentimen isi rumah dalam keadaan ada krisis dunia. Pengumuman ini akan memberi kesan positif kepada ekonomi yang dipacu sentimen dan keyakinan rakyat.

“Ia akan meningkatkan kesan pengganda dan pertumbuhan ekonomi. Kita perlukan satu boost untuk ayunan ekonomi,” kata profesor dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia ketika dihubungi.

Semalam, Anwar mengumumkan beberapa inisiatif termasuk pemberian RM100 secara automatik melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada 22 juta rakyat dewasa Malaysia.

Kerajaan turut mengisytiharkan 15 September sebagai cuti umum tambahan, selain menambah peruntukan bagi Jualan Rahmah Madani kepada RM600 juta, menangguhkan kenaikan kadar tol, dan menurunkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter.

“Ini kali pertama semua rakyat dewasa sejumlah 22 juta orang akan peroleh RM100. Apa yang kita lihat ialah kerajaan prihatin dan memberi bantuan untuk menyemarakkan ekonomi,” kata Barjoyai.

Mengulas pengisytiharan cuti tambahan, beliau mengakui Malaysia sememangnya antara negara dengan jumlah cuti yang tinggi.

Namun, beliau berpandangan produktiviti masih boleh dipertingkat melalui penggunaan teknologi.

“Malaysia juga wajar mengamalkan sistem ini,” katanya, merujuk kepada sistem kerja empat hari seminggu yang dilaksanakan di beberapa negara Barat.

Beliau turut menyarankan kerajaan merangka dasar ekonomi jangka sederhana dan panjang bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

“Malaysia memerlukan rombakan dalam sistem ekonomi demi kesejahteraan hidup rakyat. Penstrukturan ekonomi perlu dibuat agar industri mikro, kecil dan sederhana berkembang.

“Sektor ini menyumbang kepada 65% ekonomi negara,” tegasnya.

Baca juga: Anak sulung mangsa tragedi Sungai Korok raih 7A, duduki tempat pertama dalam kelas!