Penumpang sanggup bayar lebih sebab takut tertinggal ‘flight’, pemandu teksi terkejut dapat RM5k

Oleh MAISARAH AISYA

Kebanyakan pelanggan sanggup membayar lebih untuk tiba lebih awal ke destinasi apabila menaiki teksi.

Buat pemandu teksi di Thailand ini, dia terkejut apabila menerima bayaran sebanyak €1,000 (RM5,067) sebagai tambang untuk perjalanan selama 30 minit.

Menurut portal berita Thaiger, pemandu itu berkongsi kisahnya itu dalam kumpulan sembang Pemandu Teksi Thailand di Facebook.

Pemandu tersebut memaklumkan bagaimana dia membawa penumpang warga asing tersebut dari Lapangan Terbang Don Mueang ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok.

Harga tambang yang sepatutnya dikenakan adalah berharga 677 baht (RM89.07).

Penumpang tersebut bagaimanapun memintanya tiba ke destinasi dalam masa 30 minit serta menjanjikan bayaran istimewa.

Tambahnya penumpang itu mahu sampai tepat pada masanya agar tidak terlepas penerbangannya, lapor laman berita Sanook.

Netizen bagaimanapun mempersoalkan kesahihan wang kertas itu kerana €500 jarang digunakan dan tiada dalam edaran selama bertahun-tahun.

Namun, pemandu itu menjawab bahawa wang itu adalah tulen.

Selepas pengeluaran dihentikan, wang kertas €500 akan kekal sah dan boleh terus digunakan sebagai alat pembayaran dan simpanan nilai.

Baca juga: Siti Bainun turun 60KG, ini menu makanan di penjara Malaysia yang ramai tak tahu