Wanita terkejut pemandu e-hailing hanya pakai seluar dalam, baru sarung baju bila disuruh

Oleh MALAYSIADATELINE

Alangkah terkejutnya penumpang ini apabila mendapati pemandu kenderaan ‘e-hailing’ yang ditempah menerusi aplikasi atas talian tidak mengenakan sebarang pakaian melainkan seluar dalam.

Menerusi perkongsian dimuat naik di platform Instagram, penumpang terbabit mendakwa bahawa kejadian berlaku pada 28 Januari lalu selepas membuat tempahan perjalanan dari kawasan Taman Sentosa, Johor Bahru.

Difahamkan, penumpang itu tidak hanya bersendirian sebaliknya menaiki kenderaan tersebut bersama dua ahli keluarganya yang lain namun tetap merasa ketakutan memandangkan mereka semua wanita.

Menurutnya, mereka hanya menyedari bahawa pemandu berkenaan memakai seluar dalam sahaja selepas menaiki kenderaan sebelum ibu kepada pengadu memberanikan diri menegur pelaku untuk menyarungkan pakaian.

“Pada kejadian sekitar jam 11.47 pagi. Saya, ibu dan mak cik menempah kenderaan e-hailing melalui aplikasi atas talian. Apabila kereta tiba dan saya masuk, barulah kami menyedari bahawa pemandu lelaki itu tidak berpakaian dengan betul.

“Dia hanya memakai seluar dalam. Memandangkan kami semua wanita, rasanya sangat tidak selesa dan takut. Ibu saya meminta pemandu itu memakai bajunya. Dia hanya sarungkan baju apabila sudah separuh jalan. Tetapi dia masih tidak memakai seluar,” katanya.

Kejadian itu dipercayai dialami oleh pelancong Singapura kerana mangsa membuat pendedahan mengenai insiden tersebut menerusi akaun Instagram @sgfollowsall tanpa mendedahkan identiti sebenarnya.

Dalam perkongsian sama, penumpang terbabit turut menyampaikan pesanan khususnya buat pelancong yang mungkin akan berkunjung ke Johor Bahru bersendirian untuk lebih berhati-hati ketika menggunakan e-hailing.

“Kejadian ini membuatkan kami rasa tidak selamat. Kami percaya adalah penting untuk memberi amaran kepada wanita lain, terutama mereka yang melancong sendirian atau menuju ke Johor Bahru.” Ujar pengadu itu dalam pendedahan tersebut.

Identiti pemandu terlibat dan maklumat kenderaannya turut dikongsikan dalam hantaran itu bersama gambar pelaku yang dipercayai masih sedang memandu sambil menyarungkan pakaian selepas diminta penumpang.

Baca juga: Siasatan tiada tempoh luput, SPRM boleh buka semula kes lama