Penyanyi lagenda Zaiton Sameon kini jual sambal petai

Oleh KIM SYAZIE

Penyanyi legenda era 80-an, Zaiton Sameon yang mengusahakan perniagaan kecil-kecilan menjual sambal petai, semakin mendapat banyak tempahan dari orang ramai.

Setiap hari, pemenang Anugerah Juara Lagu 1987 ini akan menerima tempahan sambal petai sekurang-kurangnya 20 hingga 50 tempahan.

Biarpun dia masih menerima undangan menyanyi, namun menurutnya adalah lebih baik untuk dia memfokuskan perniagaannya.

“Alhamdulillah, rezeki menyanyi masih ada. Namun, saya rasa lebih baik berniaga apabila sudah ada modal untuk perniagaan kecil-kecilan.

“Syukur, semuanya dipermudahkan. Baru-baru ini, saya baru pulang dari Pantai Timur selepas hampir seminggu atas urusan perniagaan dan mencari petai di sana,” katanya menurut Astro Gempak.

Zaiton turut berkongsi bahawa dia terharu dengan sambutan luar biasa yang diterima dan bercadang untuk mengembangkan rangkaian perniagaannya ke seluruh negara.

“Alhamdulillah, rata-rata pelanggan yang membeli sambal petai saya memberikan komen positif. Ramai yang kata sedap.

“Setakat ini, sambal petai saya juga mendapat sambutan dari pelanggan di Kota Singa. Kami menguruskan semuanya sendiri, termasuk penghantaran,” tambahnya.

Walaupun mengakui rindu dengan bidang seni, Zaiton gembira dan bersyukur dengan rezeki yang diperolehinya kini.

Baca juga: Ayam goreng tak rangup? Guna kaedah celup 2 kali baru menjadi!