Penyokong PN didakwa sebar tangkap layar palsu kononnya TokTi kutuk program Himpunan Madani?

Oleh KIM SYAZIE

Penyokong Perikatan Nasional didakwa cuba mencemarkan imej penyanyi nombor 1 negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza selepas tularnya tangkap layar palsu mengaitkan penyanyi tersebut mengutuk program Himpunan Madani di Kedah.

Menerusi tangkap layar yang tular, Siti kononnya memuat naik status mengatakan dia hadir ke program tersebut hanya untuk memeriahkan majlis.

Beliau juga tidak sangka apabila ia rupanya seperti majlis politik. Namun, beliau tetap menghormati warga negeri Kedah tanpa ada niat politik.

“Saya hadir malam tadi hanya dijemput untuk memeriahkan majlis. Tak sangka pula ianya adalah seperti majlis politik.

“Saya tetap menghormati warga negeri Kedah yang saya hadir semalam tanpa ada apa-apa niat politik dan saya tetap menyatakan pendirian untuk menghormati kerajaan negeri,” tulis dalam hantaran tular itu.

Siti bagaimanapun memuatnaik penjelasan di IG Story, menegaskan bahawa tangkap layar tular itu adalah palsu.

Bahkan hasil semakan di Facebook penyanyi itu, langsung tiada hantaran sedemikian yang kononnya mengutuk program kerajaan Madani dan menyokong kerajaan negeri.

Warganet juga mendapati ia palsu dan bertujuan memburukkan imej Siti dalam kalangan penyokong kerajaan.

“Siapalah yang pandai-pandai edit berita palsu ini, gunakan nama Facebook saya yang ‘verified’, dan sebarkan merata-rata, dan yakinkan orang ini posting sebenar.

“Ini palsu. Cukup-cukuplah semua perkara nak dibuat macam ini. Saya ini penyanyi, hiburkan semua orang. Bulan syawal ini bulan jalinkan silaturahim bukan sebar-sebar berita palsu,” ujarnya.

Program yang dihadiri ribuan rakyat negeri tersebut diserikan dengan persembahan dua orang penyanyi terkemuka negara iaitu Siti dan Datuk Amy Search.

Difahamkan, pada 28 April lalu berlangsungnya Himpunan Madani dan 29 April pula diteruskan dengan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Hotel Raia, Alor Setar.

Baca juga: “Cuaca panas sangat”, ‘duyung’ terlepas di KLCC akhirnya di escort polis