Pihak pengurusan jenazah yang terlibat di dalam proses menggali semula jasad Allahyarham Zara Qairina tampil berkongsi semula pengalaman disifatkan luar biasa yang dialami oleh mereka pada hari kejadian.
Menerusi satu rakaman dikongsikan di platform TikTok, salah seorang anggota pasukan itu memberitahu bahawa mereka mulanya diberi taklimat oleh pihak forensik untuk bersedia daripada segi mental dan fizikal.
Hal ini berikutan pasukan terbabit mungkin berhadapan dengan kemungkinan bahawa jenazah pelajar Tingkatan Satu itu tidak lagi berada dalam keadaan sempurna selain diminta mengambil apa sahaja yang tinggal.
Namun perkara sebaliknya yang berlaku apabila mereka mendapati jenazah kanak-kanak berkenaan masih utuh dan sempurna walaupun sudah 23 hari dikebumikan selepas pusara tersebut digali.
Malah wakil pasukan pengurus jenazah itu juga mengakui terkejut dan tergamam apabila melihat keadaan jenazah yang bukan sahaja kelihatan sempurna malah seolah-olah baru sahaja dikebumikan.
“Kalau ikut logik, jenazah mungkin sudah berada dalam keadaan yang tidak sempurna kerana sudah 23 hari dikebumikan. Malah ketika diberi taklimat oleh pihak forensik, mereka maklumkan bahawa keadaan jenazah kemungkinan besar tidak sempurna.
“Kami juga diminta untuk mengambil apa sahaja yang dijumpai sama ada tulang, cebisan kulit mahupun kain dan membungkusnya semula. Namun, Allah menunjukkan kekuasaan-Nya. Kami yang berada di khemah ketika itu tidak ramai.
“Namun cukup untuk menitiskan air mata apabila melihat jenazah dalam keadaan utuh. Tiada kerosakan, kain kafan masih sempurna,” kata wakil pasukan tersebut menerusi perkongsian dalam rakaman yang berdurasi lima minit 20 saat itu.
Dalam pada itu, pihak pengurusan turut memaklumkan bahawa mereka tidak menghidu sebarang bau kurang menyenangkan ketika melakukan proses penggalian tanpa mengenakan pelitup muka.
Difahamkan, Allahyarhamah Zara Qairina merupakan seorang remaja yang sangat mengambil berat mengenai pemeliharaan aurat dan rajin mengerjakan ibadah malah sering mengajak rakan ke arah kebaikan.
“Sekiranya difikirkan secara logik, kejadian berlaku sudah lebih tiga minggu. Sudah pasti wujudnya bau yang tidak menyenangkan. Tetapi kami langsung tidak menghidu apa-apa bau yang pelik.
“Rupanya sejak di bangku sekolah rendah, Zara dikatakan sangat menjaga solat dan sudah menutup aurat dengan sempurna seawal darjah tiga. Dia juga sering berpesan kepada rakan-rakan supaya tidak meninggalkan solat.” Kongsinya lagi.
Baca juga: Lapan peniaga terjejas ribut di Kuantan terima bantuan segera – Setiausaha Politik PM