Pilihan raya ke 15 penyelamat diri atau rakyat

Oleh BORHAN AHMAD

30hb September 2022 Umno “Top Five” telah mengadakan perbincangan awal para Mesyuarat Kerja Tertinggi Umno (MKT). Antara lain yang diumumkan oleh Setiausaha Agung Datuk Seri Ahmad Maslan adalah mengesahkan bahawa PRU15 akan diadakan pada tahun ini juga. Dengan kata lain parlimen akan dibubarkan dalam jangkamasa terdekat sebelum 2022 mengangkat tabir.

Walaupun telah lebih 60 tahun merdeka dan menjadi parti yang menguasai pemerintahan negara, Umno masih lagi belum matang dalam membezakan antara Kerajaan Malaysia, Parti Politik, kuasa Perdana Menteri dan peranan Yang DiPertuan Agong menurut perlembagaan.

Kenyataan Ahmad Maslan jelas menunjukkan bahawa Umno itu kerajaan dan kerajaan itu Umno. Kuasa prerogatif Perdana Menteri telah dinafikan dan tanggung-jawab Seri Paduka Baginda YDPA dalam memberi perkenan pembubaran Parlimen seperti dinafikan. Ahmad Maslan telah membuat pengumuman awal seolah-olah “memaksa” YDPA memberikan perkenan tanpa Baginda dirunding terlebih dahulu.

Walaupun selama ini seolah-olah mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu, namun tindakan ini merupakan satu kebiadapan. Walaupun Ahmad Maslan mengisytiharkan bahawa YAB Perdana Menteri akan menghadap YDPA dalam jangka waktu terdekat dan ini menggambarkan pula bahawa negara memiliki PM ‘remote control’. Presiden Umno kelihatan amat terdesak supaya PRU disegerakan dengan apa cara sekali pun. Sudah menjadi rahsia umum bahawa ia sangat terkait rapat dengan kes beliau yang masih belum selesai dan begitu juga dengan ketakutan jika banyak lagi yang akan terbongkar atau dibongkar jika masa yang lebih diberikan.

Kelihatan Umno/BN tidak berminat untuk mengadakan pilihanraya yang adil dan saksama. Semua jentera akan digerakkan untuk menabur semula segala janji politik perkauman, agama, janji projek mee segera dan sentimen kebencian. Sepertimana yang telah dan pernah berlaku sejak lebih 60 tahun pasca kemerdekaan. Seperti biasa pembangkang akan cuba dipalitkan dengan segala kekotoran, kebencian dan kebodohan, tiada masa hadapan dan pembunuhan karakter akan dilakukan.

Inilah tabiat yang tidak berubah-ubah dalam Umno/BN. Bagi mereka tiada siapa yang boleh memberikan masa hadapan yang cerah melainkan Umno/BN. Bagi mereka, Umno/BN sahajalah pembela agama walaupun batang tubuh mereka berserabai dengan palitan rasuah, mempergunakan agama dan mensucikan diri sebagai panglima jihad untuk membawa agama unggul dibumi Malaysia. Walhal jika itu benar, Malaysia telah menjadi negara progresif dan rahmat bagi seluruh rakyatnya. Namun ini tidak berlaku dan malah tidak pernah berlaku. Hakikatnya Umno/BN telah membahagi masyarakat kepada segmen yang mereka kehendaki bukan yang seperti yang dikehendaki oleh Islam yang sebenar.

Baca Artikel Penuh