PM Anwar hulur bantuan kepada pejuang kanser tahap 4, tabah jaga anak lahir pramatang

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan dan kotak makanan kepada pejuang kanser payudara tahap empat iaitu Sh Lilinursabariana Syd Mohd Bakari di Kuantan, Pahang.

Bantuan tersebut disampaikan melalui Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi dalam siri jelajah Ziarah MADANI Indera Mahkota sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap rakyat.

Ahmad Farhan mengakui bahawa situasi dialami Lilinursabariana sememangnya cukup menyentuh hati namun merasa begitu kagum dengan ketabahan dan semangat wanita terbabit.

Mana tidaknya menerusi perkongsian di platform Facebook, Ahmad Farhan juga memaklumkan bahawa pejuang kanser itu bukan sahaja semangat melawan penyakit malah turut menjaga anak pramatang.

“Lebih menyentuh hati, beliau juga perlu cekal menjaga anak pramatang di tengah ujian kesihatan yang sedang dihadapi. Namun, ketabahan dan semangat yang ditunjukkan beliau amat memberi inspirasi.

“Saya turut menyampaikan sumbangan dan kotak makanan mewakili YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai tanda sokongan dan keprihatinan buat beliau sekeluarga,” katanya dalam hantaran itu.

Menerusi perkongsian tersebut, Ahmad Farhan juga mengirimkan doa khusus kepada ibu terbabit agar terus diberikan kekuatan, dipermudahkan segala urusan serta dikurniakan kesembuhan yang berpanjangan.

“Sama-sama kita doakan agar beliau terus tabah dan kuat menghadapi dugaan ini.” Ujarnya dalam hantaran yang disertakan bersama beberapa keping gambar sewaktu kunjungan tersebut diadakan di kediaman Lilinursabariana.

Baca juga: Gambar menu nampak ‘premium’, sekali sampai meja terus hampa