PMX sifatkan guru tonggak pembinaan negara, kongsi pengalaman sendiri jadi pendidik

Oleh MALAYSIADATELINE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga pendidik sempena sambutan Hari Guru sambil menyifatkan guru sebagai tunjang utama dalam pembinaan anak bangsa dan pembentukan nilai masyarakat.

Menerusi satu hantaran di media sosial, beliau berkata jasa, pengorbanan dan dedikasi guru amat besar dalam mencorakkan akhlak, nilai serta ketamadunan negara.

Anwar turut berkongsi pengalaman dirinya sebagai tenaga pengajar ketika menubuhkan Yayasan Anda Akademik pada awal 1970-an.

“Saya sendiri pernah melalui pengalaman sebagai tenaga pengajar ketika menubuhkan Yayasan Anda Akademik pada awal 1970-an.

“Ketika itu, saya melihat ramai anak muda daripada keluarga susah dan tercicir daripada pendidikan, datang dengan kegelisahan tentang masa depan mereka.

“Pengalaman itu mengajar saya bahawa tugas seorang guru bukan sekadar menyampaikan ilmu, tetapi membina keyakinan, mengangkat maruah insan dan menanam harapan serta cita-cita dalam kehidupan,” ujarnya dalam hantaran di media sosial.

Dalam masa sama, beliau menegaskan peranan guru kini menjadi semakin penting ketika dunia berdepan pelbagai cabaran kompleks.

Menurutnya, guru bukan sahaja bertanggungjawab membentuk generasi berilmu, malah perlu memastikan nilai kemanusiaan, adab dan kebijaksanaan terus menjadi asas dalam pembangunan negara selaras dengan gagasan Malaysia MADANI.

“Moga seluruh warga pendidik terus dikurniakan kekuatan, kecekalan dan iltizam dalam mendidik anak bangsa demi Malaysia yang lebih maju, sejahtera dan mampan,” katanya.

Beliau turut mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua pendidik dengan tema “Guru Bitara Nadi Negara”.

Baca juga: Anwar umum peruntukan RM5 juta untuk perkasa pembangunan belia, salur melalui MBM