Bagi pencinta dunia tanaman sama ada bunga, sayuran mahupun buah-buahan, tiada yang lebih mengecewakan daripada melihat pokok yang ditanam membesar tanpa sebarang hasil.
Lebih menyedihkan apabila pokok kelihatan sihat dan tinggi, namun langsung tidak berbunga atau berbuah.
Jika anda pernah mengalami situasi ini, mungkin sudah tiba masanya mencuba teknik alternatif yang dikongsi ramai pekebun iaitu air baja campuran Yakult dan telur.
Gabungan unik antara minuman probiotik dan protein ini bukan sahaja membantu merangsang pertumbuhan bunga dan buah, malah turut menyuburkan tanah, menjadikan hasil tanaman lebih manis, segar dan bersaiz besar.
Teknik ini semakin popular kerana mudah disediakan, menjimatkan kos dan terbukti memberi kesan positif pada pelbagai jenis tanaman.
Cara buat air penggalak baja
Bahan-bahan:
- 1 botol Yakult
- 2 biji telur ayam
- 1 unit botol mineral 500ml kosong
Cara-cara:
- Campurkan yakult dan 2 biji telur ayam.
- Gaulkan campuran tersebut sehingga sebati.
- Simpan campuran baja di dalam bekas botol mineral.
- Perap campuran baja 3 ke 7 hari. Pastikan botol tidak ditutup terlalu ketat untuk elakkan gas yang terhasil mudah keluar.
- Selepas 7 hari, air baja boleh digunakan.
Cara penggunaan:
- Tuang 20ml campuran baja ke dalam bekas lain sama ada untuk tujuan semburan atau siram ke tanah.
- Campur campuran baja dengan air biasa sebanyak 1 liter – 1.5 liter.
- Sembur atau siram larutan baja ke daun dan media tanaman.
- Semburan atau siraman larutan baja boleh dilakukan selang 2 ke 3 hari, pada waktu petang.
Baca juga: Melampau minta harga RM1,800 untuk jaga seorang bayi