Pihak polis sedang menjalankan siasatan secara terperinci berhubung kes seorang pelajar lelaki Tingkatan Tiga yang dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga di asrama sebuah sekolah menengah terletak di Sabak Bernam, Selangor.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar yang turut mengesahkan bahawa pihaknya sudah menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada hari ini.
Beliau menjelaskan bahawa siasatan itu akan dijalankan pihaknya meliputi aspek keselamatan pelajar, pengurusan asrama, dan latar belakang sosial mangsa serta rakan-rakannya, lapor Kosmo.
Tegasnya lagi, pihak polis komited untuk menjalankan siasatan kes tersebut secara telus dan menyeluruh malah perkembangan kes juga akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
“Polis sedang mengumpul keterangan daripada saksi dan individu berhubung kejadian itu. Buat masa ini, sebarang spekulasi termasuk dakwaan unsur buli adalah terlalu awal untuk disahkan.
“Kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001. Justeru, orang ramai diseru tidak membuat andai yang boleh mengganggu siasatan atau menjejaskan emosi keluarga mangsa,” katanya memetik laporan Kosmo.
Terdahulu, pelajar Tingkatan Tiga iaitu Ahmad Irfan Ahmad Hanafi dilaporkan berada dalam keadaan kritikal di hospital selepas terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.
Keputusan imbasan CT scan mendapati remaja terbabit mengalami pendarahan pada bahagian kiri dan kanan otak, selain rahang patah serta kecederaan pada paru-paru.
Ahli keluarga remaja berkenaan bagaimanapun mensyaki wujud unsur buli memandangkan tulangnya tidak ‘patah riuk’ kecuali di bahagian rahang seperti lazimnya dialami oleh mangsa yang terjatuh dari tingkat tiga bangunan.
Mereka kemudian tampil membuat laporan polis pada jam 5 pagi Selasa di Balai Polis Sabak Bernam sebelum dimaklumkan bahawa setakat ini, lima pelajar telah ditahan untuk membantu siasatan.
Dalam pada itu, pihak keluarga turut mempersoalkan kelewatan pihak sekolah yang didakwa hanya memberi makluman mengenai kejadian tersebut pada jam 4 pagi sedangkan kejadian berlaku kira-kira pukul 2 pagi.
Baca juga: Pelajar Tingkatan Tiga kini kritikal, keluarga syak ada unsur buli