Pihak polis menyerbu sebuah banglo di Jalan Kemumin, Kota Bharu, Kelantan yang dipercayai dijadikan lokasi satu perjumpaan makan-makan disertai hampir 100 individu melibatkan kumpulan gay.
Serbuan dilakukan sekitar pukul 1 pagi pada pertengahan bulan lalu itu adalah hasil daripada risikan dan maklumat awam yang turut membawa kepada penemuan ratusan kondom dan juga ubat HIV.
Namun menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, hanya 20 lelaki ditahan ketika serbuan dilakukan menakala sebahagian besar hadirin lain dipercayai sudah pulang, lapor Berita Harian.
“Kita mendapat maklumat kumpulan gay berkenaan menyewa sebuah banglo untuk acara makan-makan dalam kalangan mereka dan hasil risikan kami pertemuan itu dihadiri hampir 100 gay.
“Namun ketika serbuan itu dilakukan, sebahagian besar sudah pulang dan terdapat 20 lelaki ditahan. Kita turut merampas ubat HIV dan kondom. Kita percaya pertemuan itu diadakan untuk aktiviti hubungan terlarang.
“Ini berdasarkan penemuan kondom dan ubat HIV, namun aktiviti hubungan itu belum lagi dilakukan,” katanya dalam sidang media hari ini selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Polis memetik laporan Berita Harian.
Hasil siasatan pihak polis terhadap 20 lelaki yang ditahan, mereka mengaku menghidap penyakit HIV selain turut menyediakan perkhidmatan secara percuma kepada mereka yang berminat.
Mengulas lanjut, Mohd Yusoff memaklumkan pihaknya akan menjalankan risikan lanjut berhubung sejauh mana aktiviti itu berlaku di negeri ini memandangkan serbuan tersebut adalah kes yang pertama.
“Daripada 20 lelaki berkenaan, tiga daripadanya kita berjaya tuduh di mahkamah memandangkan terdapat video hubungan terlarang lelaki sesama lelaki dalam telefon bimbit mereka.
“Kesemua mereka yang menyertai pertemuan itu adalah orang Kelantan dan masing-masing mempunyai pekerjaan. Majlis pertemuan itu juga dimuat naik di media sosial untuk menarik lebih ramai peserta.
“Kita tidak tahu sejauh mana serius kes ini di Kelantan memandangkan ini adalah kes yang pertama. Namun kita akan pertingkatkan risikan lanjut bagi mengekang kegiatan itu.” Tegasnya.
Baca juga: Ibu kelabu mata dapat hibah RM800k, anak tergamam duit licin dalam masa setahun