Pihak polis menyiasat kejadian dua beradik maut selepas kereta dinaiki mereka terjunam ke dalam Sungai Linggi di Tanjung Agas, di Port Dickson, Negeri Sembilan pada pagi semalam sebagai kes bunuh.
Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, tangkapan telah dibuat terhadap seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun disyaki bapa kepada mangsa dan seorang wanita tempatan berusia 41 tahun.
Tangkapan tersebut dilakukan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson terhadap suspek kerana didapati telah memberikan keterangan yang meragukan berhubung kejadian tersebut, lapor Kosmo.
Semakan terhadap rekod lampau milik suspek lelaki juga didapati terdapatnya 16 kes di mana empat daripadanya masih berstatus dikehendaki (wanted), manakala suspek wanita tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
Malah siasatan ke atas kereta terjunam itu mendapati ia adalah kenderaan yang dilaporkan hilang bersabit Nusa Bestari repot 359/22 manakala hasil saringan ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek adalah negatif.
“Kedua-dua suspek akan di bawa ke Mahkamah Seremban pagi ini bagi permohonan reman. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya memetik laporan Kosmo.
Terdahulu, dua beradik dilaporkan meninggal dunia selepas kenderaan dinaiki mereka bersama ibu dan bapa terjunam ke dalam sungai di jambatan Tanjung Agas, Port Dickson.
Ketika kejadian, seorang nelayan dikenali sebagai Ade Mos sedang bersarapan bersama anak perempuannya di warung terletak kira-kira 150 meter dari lokasi kejadian sebelum terdengar bunyi suara riuh dari arah jambatan.
Nelayan berusia 47 tahun itu segera menaiki sebuah bot kecil yang ada di sungai untuk menyelamatkan sang ibu apabila suaminya memaklumkan wanita hanyut selepas keluar dari kederaan terbabit tidak pandai berenang.
Lebih menyayat hati, nelayan berkenaan turut berusaha menyelam dengan harapan dapat menyelamatkan dua beradik terbabit namun tidak kesampaian kerana sudah semput atau keletihan.
Dalam pada itu, Ade mengakui ternampak keempat-empat beranak berkenaan sejak beberapa hari lalu malah sempat berbual bersama lelaki tersebut yang dikatakan baru sahaja pulang dari Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sang bapa datang untuk memancing dengan membawa isteri dan anak-anaknya memaklumkan dirinya sedang menunggu tawaran pekerjaan di Malaysia berikutan tidak dapat meneruskan niat untuk bekerja di UAE.
Hal ini berikutan sang bapa tidak mahu memohon untuk menjadi penduduk tetap di UAE yang dikatakan menjadi salah satu keperluan penting untuk mendapatkan pekerjaan di negara Semenanjung Arab itu.
Difahamkan, dua beradik malang itu terperangkap di dalam kereta ketika kejadian berlaku sebelum Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) berjaya membawa keluar seorang kanak-kanak perempuan pada jam 1.28 petang.
Mangsa dikeluarkan dari kedalaman kira-kira tiga meter sementara seorang lagi kanak-kanak lelaki dikeluarkan pada pukul 1.47 petang namun mereka berdua disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik.
Baca juga: Ibu menangis tak dapat tuntut bantuan awal persekolahan, rupanya bekas suami dah claim lebih awal