Polis terjah rumah mak saudara, Caprice tak dedah nama ‘VVIP’ tapi putar lagu Cindai

Oleh MALAYSIADATELINE

Penyanyi rap, Caprice mempersoalkan tindakan pihak polis yang didakwa mencari dirinya sehingga ke rumah ahli keluarganya dan pejabatnya.

Menerusi satu hantaran video di Instagram, Caprice mendakwa tiga anggota polis termasuk seorang beruniform datang ke rumah ibu saudaranya serta pejabatnya bagi mendapatkan maklumat dan gambar kad pengenalan ahli keluarga.

“Budak sekolah boleh buka saja IG, lima minit dah tahu Caprice dekat Sabah. Tapi inspektor ini pergi sana sini cari Caprice,” katanya menerusi video di Instagram.

Menurut Caprice, pihak polis memaklumkan bahawa tindakan itu berkaitan dengan bahagian jenayah, namun dia menegaskan dirinya tidak melakukan apa-apa kesalahan.

“Disebabkan ada injunksi mahkamah, Cap tak boleh sebut nama dia. Cap kena turunkan semua posting dengan muka dia ataupun pasal dia,” jelasnya.

Caprice dalam masa sama meluahkan rasa kecewa apabila pihak polis dilihat menggunakan tenaga dan masa untuk mencari dirinya.

Sedangkan menurutnya lebih baik sumber itu digunakan untuk kes jenayah serius.

“Tolonglah, lebih baik korang ambil masa dan tenaga untuk tangkap perogol atau peliwat daripada cari Caprice. Kalau nak jumpa, boleh saja call atau DM saya. Tak ada masalah,” ujarnya.

Caprice turutmenegaskan dirinya sentiasa menghormati Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun kesal dengan tindakan yang disifatkan sebagai membuang masa.

“Padahal satu Malaysia sudah tahu kita dekat Sabah. It is what it is guys, enjoy,” katanya mengakhiri video tersebut.

Dalam video sama, lagu Cindai dimainkan untuk memberi bayangan tentang situasi yang menimpa dirinya.

Baca juga: Hebat perancangan Allah, Hidayah akui ramai cakap muka kekasih iras arwah Abam