Pramugari bersyukur doa hijrah termakbul, dapat bertudung tanpa perlu tukar kerja

Oleh WAN SITI AMINAH

Perkongsian seorang pramugari berhubung keputusan syarikat penerbangan tambang murah iaitu AirAsia yang membenarkan pemakaian hijab telah berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini.

Menerusi hantaran yang dimuat naik di platform Threads, pramugari berkenaan menyifatkan keputusan itu sebagai doa yang termakbul kerana tidak perlu mencari pekerjaan lain untuk mengenakan tudung.

Hal ini kerana sebelum keputusan tersebut diumumkan, wanita dikenali sebagai Farah Shazreen itu berdoa hampir setiap hari agar perjalanannya untuk berhijrah termasuk keinginan menutup aurat dapat dipermudahkan.

Farah tidak menafikan bahawa auratnya kini masih belum ditutup dengan sempurna namun tetap berusaha untuk menuju ke arah kebaikan selain tidak berhenti berdoa agar keinginannya segera tercapai.

“Setiap kali solat, saya selalu berdoa supaya Allah kuatkan hijrah saya. Buat saya rasa cantik sewaktu menutup aurat. Saya juga mendoakan agar dikurniakan pekerjaan yang memerlukan kakitangan menutup aurat.

“Tak sangka pula Allah makbulkan tanpa tukar kerja pun. MasyaAllah, Tabarakallah. Saya tahu, banyak lagi saya kena belajar. Benar, saya masih belum kuat lagi untuk berhijab sepenuhnya. Masih tunjuk aurat di media sosial.

“Memandangkan kerja sebelum ini saya perlu memakai skirts juga. Lagi pula saya memang sukakan kecantikan luaran,” kongsinya yang berharap dapat berhijrah dengan sempurna seiring berjalannya waktu.

Wanita itu mengakui pernah merasa cemburu melihat pramugari dari luar negara mengenakan tudung namun hanya mampu berdoa agar dikurniakan kekuatan untuk berhijrah termasuklah jika perlu menukar pekerjaan.

Namun Farah kini dapat menarik nafas lega apabila tidak perlu lagi mengenakan skirt dan bekerja dengan tenang selain mengakui kekuatan berdoa dikurniakan Allah SWT kepada hamba-hambanya yang benar-benar berharap.

Menerusi hantaran berbeza, pramugari itu turut berkongsi perasaan takutnya apabila perlu terbang bekerja sebelum ini kerana bimbang sekiranya musibah menimpa dalam keadaan dirinya belum menutup aurat.

“Selalu takut jika terjadi apa-apa, orang akan jumpa jasad saya dalam keadaan yang tidak menutup aurat. Perasaan ini datang terutamanya apabila perlu terbang ke destinasi yang memerlukan saya memakai skirt.

“AirAsia dahulu mewajibkan semua kru perempuan untuk memakai tudung apabila terbang ke Jeddah/Medinah. Sebab itulah saya selalu memohon untuk bertugas dalam penerbangan itu.

“Tetapi sekarang, Alhamdulillah. Sudah tak perlu risau sangat apabila nak pergi kerja.” Ujarnya yang turut memuat naik beberapa gambar memaparkan dirinya dan rakan setugas mengenakan hijab ketika bekerja.

Baca juga: Guna kad pengenalan palsu, dua tukang cuci warga Filipina ditahan