Pempengaruh media sosial sensasi, Prince Syed kembali mencuri tumpuan ramai baru-baru ini selepas berkongsi rakaman memaparkan suasana majlis sambutan ulang tahun kelahirannya pada Isnin lalu.
Menerusi satu rakaman yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya, pemilik nama sebenar Syed Muhammad Shah Hasif Syed Othman itu meluahkan rasa syukur berikutan usianya kini sudah genap 33 tahun.
Prince Syed yang juga merupakan seorang usahawan itu turut memaklumkan bahawa busana rekaannya untuk sambutan hari jadi tahun ini dibuat ‘sederhana’ sahaja dengan bertemakan Bollywood.
Namun perkara yang lebih menarik perhatian orang ramai sudah tentulah kek hari jadi berwarna biru ‘bertatahkan’ bunga emas dan dihiasi bersama juraian rantai berhuruf ‘S’ bersempena namanya.
Mana tidaknya, pempengaruh terbabit mendakwa sudah mengeluarkan belanja sebanyak RM200,000 dalam majlis berkenaan hanya untuk kek yang dikatakan bertatahkan perhiasan emas tulen gred 916.
Prince Syed juga mengakui menata gaya isterinya sendiri berinspirasikan dari penampilan bintang filem Bollywood lagenda iaitu Sridevi Kapoor dengan perhiasan emas dan berlian bernilai mencecah RM2 juta.
“Kek emas 916 bernilai RM200,000 ini dipenuhi bunga-bunga emas di bahagian atas kek dan juraian rantai yang berhuruf ‘S’ sempena nama saya iaitu SYED. Alhamdulillah syukur, genaplah usiaku 33 tahun untuk tahun ini.
“Pakaian yang abang buat untuk kali ini sederhana sahaja dengan bertemakan gaya India. Tetapi tetamu pula kata macam Aladdin, mungkin sebab pengaruh warna. Isteri pula mengenakan perhiasan emas dan berlian.
“Nilainya hampir mencecah RM2 juta sahaja yang dibeli hari itu daripada atas sampai bawah. Penampilan isteri ini abang siapkan mengikut inspirasi gaya Sridevi,” katanya dalam ruangan kapsyen hantaran itu.
Dalam perkongsian sama, Prince Syed turut meluahkan rasa syukur kerana dikurniakan rezeki pinjaman dari Allah dan berharap peniagaannya dapat memberikan manfaat kepada orang ramai termasuk dalam berbentuk sedekah.
Baca juga: Tanpa sebarang ‘loan’, anak muda ini buktikan mampu raih RM12K sebulan hasil bertani