Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memohon pertimbangan dan kepercayaan rakyat Negeri Sembilan untuk memberikan mandat yang lebih kukuh kepada Pakatan Harapan (HARAPAN) bagi memastikan kesinambungan pentadbiran negeri yang bersih, stabil dan berintegriti.
Menerusi satu hantaran di Facebook, Anwar berkata mandat itu penting bagi membolehkan pentadbiran di bawah pimpinan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun diteruskan demi kesejahteraan rakyat.
“Dengan penuh rendah diri, saya memohon pertimbangan dan kepercayaan rakyat Negeri Sembilan untuk memberikan mandat yang lebih kukuh kepada HARAPAN demi kesinambungan pentadbiran yang bersih, stabil dan berintegriti di bawah pimpinan saudara Aminuddin Harun,” katanya.
Menurut beliau, sejak 2018 pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh kerajaan negeri, namun masih banyak agenda yang perlu diteruskan bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai seluruh rakyat.
“Sejak 2018, pelbagai ikhtiar telah digerakkan. Namun, masih banyak yang perlu diteruskan agar kesejahteraan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Negeri Sembilan,” katanya.
Dalam hantaran sama, Anwar turut mendoakan agar semua calon HARAPAN diberi kekuatan dan dipermudahkan segala urusan sepanjang menghadapi pilihan raya.
“Semoga semua calon HARAPAN dikurniakan kekuatan, dipermudah segala urusan dan diberikan kejayaan yang terbaik,” jelasnya.
Beliau turut mengakhiri perkongsiannya dengan menyeru agar semua pihak berpegang kepada nilai kebajikan dan ketakwaan, sambil memetik firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah, ayat 2 yang menggesa umat Islam saling membantu dalam perkara kebaikan dan tidak bekerjasama dalam melakukan dosa serta permusuhan.
Baca juga: DUN Chennah Kritikal Tentukan Mandat Kerajaan Negeri – Loke