Ramai Rakyat Israel Miliki Dwikewarganegaraan, Sukarkan Penguatkuasaan Larangan Masuk

Oleh BERNAMA

Satu persoalan yang sering dibangkitkan oleh rakyat Malaysia menerusi media sosial susulan dakwaan penyertaan rakyat Israel dalam Network School di Johor Bahru, ialah bagaimana mereka boleh memasuki negara ini?

Terdapat juga komen-komen yang meluahkan kemarahan bahawa pihak berkuasa gagal menjalankan tugas mereka. Berdasarkan reaksi berkenaan, dapat disimpulkan bahawa ramai pengguna media sosial mungkin tidak menyedari bahawa kebanyakan rakyat Israel memiliki dua kewarganegaraan.

Tiada jumlah rasmi tentang bilangan rakyat Israel yang memiliki dwikewarganegaraan atau pasport kedua, namun hakikatnya ialah Israel membenarkan rakyatnya memegang dua kewarganegaraan dalam banyak keadaan.

Kerajaan Tel Aviv mendakwa bahawa pihaknya tidak menyimpan atau menerbitkan daftar lengkap rakyatnya yang memiliki kewarganegaraan lain.

Bagaimanapun, menurut laporan, anggaran yang sering dipetik ialah 10 peratus rakyat Israel mempunyai kewarganegaraan kedua, bersamaan dengan kira-kira satu juta orang berdasarkan jumlah penduduk semasa negara itu. Akan tetapi, angka ini hanyalah anggaran yang dilaporkan, bukannya statistik rasmi.

Network School, sebuah komuniti teknologi antarabangsa yang menawarkan konsep tinggal dan bekerja bersama, di Forest City, Johor Bahru, menjadi perhatian media susulan dakwaan penyertaan warga Israel.

Komuniti yang digelar sebagai startup society untuk golongan nomad digital dan pembangun teknologi itu diasaskan dan dikendalikan oleh pelabur Lembah Silikon, Balaji Srinivasan.

Berikutan tindakan penguatkuasaan, Balaji dilaporkan berkata rancangan untuk peluasan projek bernilai RM500 juta di Malaysia kini ditangguhkan.

Dalam hantaran panjang lebar menerusi platform X, beliau mengkritik kumpulan aktivis, Malaysia Protest 4 Palestine (MP4P) yang membangkitkan isu kehadiran pencipta kandungan Israel, Nusier Yassin, yang lebih dikenali sebagai Nas Daily.

Media melaporkan vlogger Israel–Palestin Nas Daily pada 2022 berkata beliau berjaya memasuki Malaysia walaupun terdapat larangan, dengan memasuki Johor Bahru melalui Singapura menggunakan pasport Saint Kitts dan Nevis.

Satu kajian akademik oleh Yossi Harpaz menganggarkan kira-kira 344,000 rakyat Isreal memiliki kewarganegaraan negara Kesatuan Eropah (EU) (berdasarkan data 2019) walaupun angka itu tidak merangkumi semua pemegang dua kewarganegaraan.

Kewarganegaraan kedua yang lazim dipercayai dimiliki oleh rakyat Israel ialah Amerika Syarikat (AS) dengan anggaran lebih 200,000 individu yang mempunyai kewarganegaraan Israel–Amerika tinggal di Israel.

Angka berkenaan tidak termasuk individu Yahudi yang dilahirkan di AS atau mereka yang mempunyai keturunan yang berhijrah ke negara itu lebih awal.

Negara lain yang dilaporkan menjadi kewarganegaraan kedua rakyat Israel ialah Perancis, hasil penghijrahan selama berdekad-dekad, Rusia yang dikatakan susulan gelombang besar penghijrahan dari bekas Kesatuan Soviet bermula pada 1990-an serta United Kingdom (UK), melalui penghijrahan dan keturunan.

Kewarganegaraan lain yang turut biasa dimiliki mereka termasuklah Poland, Romania, Hungary, Portugal, Argentina, Afrika Selatan dan Ethiopia, bergantung pada asal usul keluarga dan sejarah penghijrahan.

Laporan yang memetik kajian akademik dan tinjauan turut menyatakan bahawa di AS, lebih 200,000 rakyat Israel memegang dua kewarganegaraan. 

Laporan dalam talian pula memetik Middle East Eye bahawa data ketenteraan Israel menunjukkan lebih 50,000 anggota tentera yang masih berkhidmat memegang pasport negara asing, terutamanya dari AS, Rusia, Perancis, UK dan Ukraine.

Secara ringkas, tiada apa-apa yang menghalang rakyat Isreal yang memegang pasport negara berkenaan daripada memasuki Malaysia.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata sebanyak 256 warga asing dari 40 negara yang diperiksa berhubung Network School itu memegang Pas Lawatan Sosial, manakala 10 lagi mempunyai Pas Lawatan Ikhtisas di bawah kategori nomad.

Beliau berkata 10 individu yang menggunakan pas kategori nomad itu terdiri daripada empat warga AS, tiga Rusia, dua Australia dan seorang warga India.

Zakaria berkata pihaknya setakat ini, belum menemukan sebarang bukti bahawa warganegara Israel berada di Network School, namun siasatan akan diteruskan dan hasilnya akan dikongsikan dengan agensi berkaitan.

Bukan mudah untuk mengesan kehadiran rakyat Israel kerana tiada senarai awam rasmi rakyat Israel yang turut memiliki pasport AS, selain status kewarganegaraan kebanyakan individu awam ialah maklumat peribadi.

Rakyat Malaysia, sama ada jemaah Islam mahupun penganut Kristian, yang pernah mengunjungi Baitulmuqaddis, dengan kelulusan daripada Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Imigresen, berkemungkinan pernah bertemu dengan ramai rakyat Israel yang bertutur dalam loghat Amerika dan mengakui memegang pasport Amerika.

Satu lagi pandangan yang sering dilihat di Baitulmuqaddis ialah papan iklan yang memaparkan perkataan “JerUSAlem” sebagai simbol menunjukkan hubungan erat negara itu dengan Amerika Syarikat.

Kontroversi ini sememangnya perlu ditangani secara baik dan berhemat kerana Malaysia mengalu-alukan pelaburan dan bakat dari luar negara, namun pada masa sama negara ini tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penghinaan atau ancaman daripada mana-mana pihak.

Yang lebih penting, pendirian Malaysia terhadap Israel adalah jelas dan telah lama diketahui umum, dan negara ini tidak akan memohon maaf atas pendirian tersebut. — BERNAMA.

Penulis artikel ini, Datuk Seri Wong Chun Wai ialah Pengerusi BERNAMA dan Tokoh Wartawan Negara.

Baca juga: PM Anwar lancar Avatar AI, dekati rakyat lebih dekat melalui Dunia MADANI Multiverse