Kunjungan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Johor hari ini membuka tirai kempen sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 menerusi program Kita Genk Madani X Anak Muda Bukit Batu di Kulai, Johor.
Acara santai tersebut dimanfaatkan Anwar yang juga Perdana Menteri itu untuk menyantuni, berkongsi aspirasi dan beramah mesra bersama komuniti anak muda terutamanya dalam kalangan pengundi di kawasan Bukit Batu.
Berikut antara perkongsian yang dibuat Menteri Kewangan itu ketika menghadiri program berkenaan;
- Masa Depan di Tangan Rakyat: Tindakan mengadakan PRN Johor lebih awal dari tempoh tamat penggal pentadbiran bukan jaminan kemenangan untuk pihak tertentu sebaliknya keputusan akhir berada di tangan rakyat.
- Projek Infrastruktur: Pemimpin itu memberi jaminan bahawa projek-projek besar kendalian Persekutuan di Johor seperti lebuh raya, Sistem Transit Rapid Link dan Aliran Transit Automasi Bertingkat tetap diteruskan.
- Bantuan Terus Kepada Rakyat: Beliau menyentuh inisiatif Kerajaan Madani seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) terus disalurkan kepada rakyat tanpa perlu beratur panjang.
- Kempen secara Agresif: Lontaran kata-kata kurang enak seharusnya berlaku kerana Anwar turun ke Johor bukan untuk ‘bergaduh’ malah keputusan PRN juga tidak menjejaskan kedudukannya sebagai Perdana Menteri.
- Kebangkitan Belia: Presiden PKR itu juga menyeru anak muda bangkit untuk menentukan masa depan negara bersama-sama tanpa mengira latar belakang ataupun kaum demi kepentingan Johor.
- Rahsia kekal bertenaga: Anwar Ibrahim secara berseloroh berkongsi ‘petua’ kekal cergas di lewat usia dengan mengadiri pelbagai program dalam masa satu hari dengan mengamalkan pemakanan ginseng dari Tibet.
Terdahulu, Anwar berada di Putrajaya pada tadi untuk merasmikan program SParK 2026 Forum Niaga Bazar anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) sebagai salah satu agenda memperkasakan perniagaan Bumiputera.
Anwar kemudian ke Johor bagi mengisi pelbagai acara termasuk Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR), Malam Kebudayaan India Harapan Bersama PMX, Majlis Makan Malam Komuniti Cina Bersama PMX, sesi Dialog Belia Johor dan Malam Anak Muda Kempas.
Baca juga: Cashier dah ‘give up’ layan MyKasih? Tapi kisah mak cik ini buat ramai tersentuh