Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MT) Umno yang akan diadakan Khamis ini dijangka membincangkan khusus mengenai perkembangan politik Melaka.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, kedua-duanya Ahli MT akan membentangkan situasi politik negeri, termasuk berkaitan persiapan jentera Pilihan Raya Negeri (PRN).
“Datuk Seri Ab Rauf dan Datuk Seri Sulaiman akan membentangkan keadaan sebenar politik Melaka kepada MT dan sudah pasti beberapa lagi perkara berkaitan PRN.
“Presiden Umno bersama semua MT akan membincangkan secara khusus mengenai persiapan jentera parti dalam menghadapi PRN ini,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan kepemimpinan Umno Melaka di Klebang malam tadi.
Dalam masa sama, lapor BH, Ahmad berkata PRN sekiranya diadakan kelak, tidak akan mengganggu perjalanan Persidangan Cawangan Umno yang dijadual bermula 15 Oktober ini.
“Persidangan Umno Cawangan akan berlangsung untuk tempoh yang panjang iaitu 15 Oktober sehingga 30 November depan dan ia langsung tidak mengganggu perjalanan PRN jika ia diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan,” jelas Ahli Parlimen Pontian itu lagi.