Dipaksa bogel 3 kali oleh rejim Israel, PU Rahmat tampil dedah sikap ‘bangsa penakut’

Oleh MALAYSIADATELINE

Pendakwah selebriti, PU Rahmat yang juga sukarelawan misi kemanusiaan Global Sumud Flotila (GSF) ke Gaza tampil mendedahkan situasi sewaktu dirinya dibogelkan oleh rejim Israel ketika berada dalam tahanan.

Menurut pemilik nama sebenar Rahmat Ikhsan Mohd Sofyan itu, dirinya telah dibogelkan sebanyak tiga kali oleh tentera Israel selepas ditahan dalam pelayaran menuju ke Gaza untuk menghantar bantuan kemanusiaan.

Kejadian dikatakan berlaku ketika PU Rahmat berada atas kapal ketika dipintas tentera Israel, di pusat imigresen dan penjara kerana pihak berkuasa negara haram berkenaan mahu memastikan tiada senjata disembunyikan.

Perkara itu didedahkan oleh pendakwah terbabit kepada peguam dari Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Ahmad Nazrin Abu Bakar yang mana rakamannya turut dikongsikan di platform Facebook.

Walaupun berhadapan dengan situasi cemas, pendakwah itu mengakui dapat melihat dengan jelas ‘ketakutan’ rejim Zionis daripada anggota tentera hingga pemimpin atasan iaitu Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir.

“Saya sendiri tiga kali kena bogel. Saya tak malu nak cakap perkara ini, sebabnya saya percaya kita semua lahir dalam keadaan bogel dan mati dalam keadaan bogel. Kalau ada video ‘leaked’ (tersebar), padamlah.

“Tetapi Insya-Allah, Allah SWT jaga aib saya. Tiga kali saya dibogelkan. Jadi nampak sangatlah mereka takut dengan senjata. Apabila tentera Israel ini masuk (kapal), kita dapat perhatikan yang pergerakan mereka tidaklah kemas.

“Walaupun kita ini bukan dari bidang ketenteraan. Tetapi boleh nampak mereka sangat berhati-hati atau seperti ketakutan. Seolah-olah ketakutan dengan bayang-bayang sendiri,” kongsinya.

Ben-Gvir yang kelihatan berani dalam video propaganda juga dikatakan meninggalkan kawasan tahanan dengan tergesa-gesa apabila sindiran ‘pengganas’ kepada aktivis ditahan dibalas dengan laungan ‘Free Palestine’.

Pendakwah berusia 32 tahun itu juga sempat berkongsi pengalaman disoal siasat seorang diri oleh tentera Israel berhubung pergerakan Hamas dan Ikhwanul Muslimin namun persoalan tersebut dijawab secara bersahaja.

“Saya jawab dengan buat lawak sahaja. Apabila mereka tanya kenal Hamas atau tidak, saya kata kenal. Tetapi saya lebih kenal Hummus. Mereka bertanya mengenai Ikhwan, saya bacakan ayat al-Quran.

“Iaitu ‘Innamal mu’minuna ikhwan’ yang bermaksud sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara. Mereka sebenarnya bangsa yang hidup dalam ketakutan. Kerana mereka tahu apa yang dilakukan itu salah.

“Orang yang bersalah ini memang akan hidup dalam ketakutan. Alhamdulillah, kita berada di pihak yang benar. Semoga kita semua terus teguh di jalan ini.” Ujar pendakwah itu lagi.

Sekadar info, pengalaman kekerasan yang didedahkan oleh para sukarelawan ini perlu didokumentasikan supaya kekejaman dan segala layanan tidak berperikemanusiaan oleh rejim Zionis ini boleh dibawa ke muka pengadilan.

Baca juga: Greta Thunberg tidak mahu digelar ‘Hero’, seru dunia tamatkan genosid di Gaza