Punyalah ‘all-out’ Bell Ngasri minta undi dari peminat, dah macam kempen pilihan raya!

Oleh KIM SYAZIE

Gelagat pelawak Bell Ngasri yang memuat naik poster wajahnya seakan-akan calon ahli politik yang meraih undi, menarik perhatian ramai.

Bell Ngasri buat pertama kalinya tercalon di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 35 (ABPBH35) dalam kelompok Top 5 kategori Artis Komedi Popular. Pencalonan ini setelah 37 tahun dia berkecimpung dalam industri seni.

Cara kreatif Bell yang memancing undi dengan menamakan partinya sebagai Parti Beg Plastik Hitam nyata membuatkan ramai geli hati kerana kesungguhan pelawak itu.

Kapsyen di Facebook miliknya juga terlihat seperti sedang berkempen untuk memenangi pilihan raya, sekaligus merancakkan ruangan komen dengan usikan-usikan netizen.

“Buatlah keputusan yang bijak dalam memilih calon DUN atau Parlimen anda demi kelestarian & masa depan negara kita Malaysia yang tercinta.

“Sebagai wakil anda, saya akan sentiasa turun padang, semualah padang bola, padang golf, padang kota Pahang, padang jarak padang tekukur…saya akan rajin turun ke akar umbi juga.

“Buatlah pilihan bijak @abpbh35 #abpbh35,” tulisnya sambil mengucapkan terima kasih kepada peminat yang mereka poster tersebut.

Dia juga meminta untuk mengundi dan meletakkan tagline ‘Dari Kampung Pisang ke ABPBH’. 

Rata-rata peminat turut mendoakan agar Bell akan menang setelah penantian selama hampir 40 tahun.

Baca juga: Sewa kereta ambil keputusan STPM anak, petani ini sanggup pinjam RM120 dari jiran