Rakyat di Sabah diseru patuhi SOP, nilai Rt Covid-19 melambung

Oleh ARIF ATAN

Orang ramai di Sabah diingatkan supaya sentiasa mengambil langkah pencegahan, khususnya dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata negeri itu merekodkan peningkatan kadar kebolehjangkitan atau Rt Covid-19 dengan catatan 1.07 setakat kelmarin berbanding 0.96 pada 1 Januari lalu.

Menurutnya, kadar terkini itu juga lebih tinggi berbanding 0.98 yang dicatat bagi Rt kebangsaan.

“Sebagai langkah pencegahan, kita perlu terus mematuhi SOP dan nasihat dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) sepanjang masa,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Semalam, KKM memaklumkan Wilayah Persekutuan Labuan mencatat Rt paling tinggi di seluruh negara dengan kadar yang dilihat meningkat setiap hari sejak 1 Januari lalu.

Sabah pula berada di kedudukan kedua diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (1.06) dan Melaka (1.03).