Ramai ‘DM’ minta duit beli baju anak, usahawan tampil beri teguran terbuka

Oleh MAISARAH AISYA

Dalam keghairahan menyambut Syawal, fenomena meminta derma bagi membeli baju raya semakin menjadi-jadi sehingga mencetuskan tanda tanya dalam kalangan masyarakat.

Usahawan dan pempengaruh, Datuk Seri Alha Alfa menegur sikap segelintir individu yang didakwa meminta wang daripadanya semata-mata untuk membeli baju raya.

Menerusi satu hantaran dimuat naik di Threads, usahawan itu meluahkan rasa terkejut apabila menerima banyak mesej peribadi (DM) daripada individu tidak dikenali.

Kebanyakan memohon bantuan kewangan bagi membeli kelengkapan Aidilfitri untuk anak-anak dan pasangan.

“Abang-abang, kakak-kakak, adik-adik yang saya sayang, saya faham nak raya masing-masing nak belikan baju raya untuk anak, isteri atau suami.

“Tapi saya macam terkejut sekarang ramai sangat DM minta duit nak beli baju anak-anak,” kongsinya di Threads.

Beliau sendiri dibesarkan dalam keluarga yang serba kekurangan dan tidak menjadikan kemewahan pakaian baharu sebagai keutamaan setiap kali menjelang hari raya.

“Saya dulu dari keluarga susah juga. Kalau ayah tak ada duit, pakai saja baju lama. Nanti saya usaha buat kuih ke, meniaga ke, apa saja untuk cari duit beli baju sendiri bila dah besar sikit,” kongsinya.

Dalam masa sama, beliau berpendapat ibu bapa tidak seharusnya memaksa diri berbelanja di luar kemampuan semata-mata mahu ‘melaramkan’ keluarga ketika perayaan.

“Kalau awak semua tak ada duit tapi nak juga melaramkan anak isteri tu, semoga berjayalah nanti sampai bila-bila jadi begitu.

“Tak ada duit pun mereka tak akan memahami, dan akan desak awak. Memberontak lagi ada, percayalah,” tegasnya.