Remaja merajuk ibu enggan beli telefon, hampir maut lepas larikan diri dalam hutan

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang remaja lelaki yang dilaporkan hilang selama tiga hari selepas melarikan diri di dalam hutan berjaya ditemui dalam keadaan lemah.

Remaja itu dipercayai bertindak sedemikian kerana berang dengan tindakan ibu yang enggan menuruti kemahuannya untuk membeli telefon bimbit baharu.

Menghilangkan diri selama tiga hari, lelaki yang berusia 15 tahun itu nyaris maut jika tidak ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Hal ini kerana mangsa ditemui dalam keadaan lemah kerana dipercayai langsung tidak makan atau minum selama tinggal di dalam hutan.

Mangsa yang dikenali sebagai Andi itu sempat terserempak dengan jirannya ketika melarikan diri daripada rumah pada hari Isnin, 7 Ogos lalu.

Setelah dimaklumkan jiran, ibu mangsa yang gagal mengejar anaknya itu segera melaporkan kehilangan remaja tersebut kepada pihak polis.

Memetik laporan Detik.com, kejadian tersebut difahamkan berlaku di daerah Bantul yang terletak di selatan Yogyakarta, Indonesia.

Jurucakap Polis Daerah Bentul, Nengah Jeffry memaklumkan bahawa operasi pencarian Andi melibatkan 100 orang anggota SAR.

Andi kemudian berjaya ditemui pada hari Rabu tanpa sebarang kecederaan namun berada di dalam keadaan lesu dan kelaparan.

“Dari keterangan keluarga, mangsa melarikan diri kerana marah dengan ibunya yang enggan membelikan telefon bimbit. 

“Sekitar pukul 3.30 petang, anggota SAR berhasil menemukan anak yang hilang di hutan Muntuk, Dlingo, Bantul,” katanya memetik Detik.dom.

Baca juga: Penyewa meninggal terkurung dalam rumah, dikunci pemilik kerana tak bayar sewa