Restoran ayam goreng terkenal cetus kontroversi guna minyak babi untuk memasak

Oleh KIM SYAZIE

Sebuah restoran ayam goreng yang terkenal di Indonesia menjadi bualan hangat selepas didakwa menggunakan minyak babi dalam penyediaan menu mereka, sesuatu yang mengejutkan pelanggan Muslim, lebih-lebih lagi selepas lebih lima dekad beroperasi.

Terletak di Solo, restoran yang mula beroperasi sejak 1973 itu terkenal dengan hidangan ayam kampung goreng bergaya tradisional Jawa.

Namun, pendedahan mengenai penggunaan minyak babiterutamanya dalam penyediaan ‘kremes’ atau keripik ayam telah menimbulkan rasa kecewa dalam kalangan pelanggan beragama Islam di negara majoriti Muslim itu.

Seorang kakitangan restoran, Ranto, mengesahkan bahawa status ‘tidak halal’ hanya dinyatakan secara terbuka selepas aduan pelanggan tersebar luas di media sosial.

“Memang ada makluman dalaman bahawa menu ini tidak halal, terutama pada bahagian kremes. Tapi sejak tular baru-baru ini, barulah pihak restoran tampil beri penjelasan secara terbuka,” katanya.

Menurut Ranto lagi, majoriti pelanggan restoran tersebut sejak dahulu merupakan mereka yang bukan beragama Islam.

Mengambil maklum akan sensitiviti masyarakat, pihak pengurusan Ayam Goreng Widuran bertindak menambah label ‘Tidak Halal’ pada papan tanda premis, laman Instagram rasmi serta di aplikasi Google Maps, sebagai langkah penjelasan kepada pelanggan sedia ada dan bakal pelanggan.

“Kami mohon maaf atas kekeliruan yang timbul. Kini semua saluran komunikasi kami sudah ditandakan sebagai ‘Tidak Halal’. Kami harap diberi peluang untuk memperbaiki kesilapan ini,” demikian kenyataan rasmi pihak pengurusan menerusi akaun Instagram @ayamgorengwiduransolo.

Isu ini sekaligus membuka semula perbincangan tentang keperluan keterbukaan dan ketelusan dalam penyediaan makanan, khususnya dalam konteks masyarakat berbilang agama.

Baca juga: Isteri menyesal tanggung keluarga selama 14 tahun, suami hanya ingat jasa ‘penyondol’!