Elakkan berkongsi data peribadi secara sembarangan, terutama jika diminta melalui mesej mencurigakan tanpa soal selidik rasmi.
Pastikan anda semak sumber dan pautan dengan teliti, kerana sekali tertipu, maklumat anda boleh disalah guna tanpa disedari.
Kementerian Komunikasi meminta orang ramai untuk berhati-hati dan tidak terpedaya dengan mesej hebahan terutamanya pautan mengenai bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Menurut Harian Metro, Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching memaklumkan pautan SARA yang ada ketika ini dikenal pasti sebagai palsu.
Tegasnya penerima bantuan RM100 untuk semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas akan dimasukkan secara automatik tanpa perlu mengisi apa-apa borang.
“Tetapi semua perlu berhati-hati jangan klik mana-mana pautan atau ‘link’ yang dihantar pihak yang tidak dikenal pasti.
“Ini kerana pihak kami sudah mengesan terdapat scammer yang menggunakan ayat semak maklumat rasmi (Bantuan SARA) dan seumpamanya bagaikan mereka dari pihak Kerajaan.
“RM100 ini akan dikreditkan kepada warga Malaysia 18 tahun ke atas secara automatik,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Pada masa sama, orang ramai tidak perlu risau jika kad pengenalan tiada fungsi ‘touch n go’.
“Tidak perlu risau, kad pengenalan juga tidak perlu ada fungsi ‘touch n go’, tidak perlu buat permohonan dan tidak perlu isi mana-mana borang.
“Kad pengenalan hanya sebagai pengesahan sahaja,” tegasnya.
Baca juga: Enam lagi pelajar MRSM Tingkatan 5 digantung sekolah, disyaki terlibat dalam kes buli