Kerajaan akan mencari cara yang lebih baik untuk memastikan rakyat ada pendapatan tetap selepas bersara.
Ini adalah selepas melihat bahawa simpanan yang cukup adalah sangat penting untuk kebajikan rakyat Malaysia pada usia tua.
Perkara tersebut diterbitkan oleh Kementerian Ekonomi dalam laporan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK) lapor Berita Harian.
Mekanisme ini akan membolehkan pengasingan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada dua komponen, iaitu simpanan persaraan dan pencen persaraan.
“Melalui usaha ini, golongan pekerja akan dapat mengeluarkan sebahagian daripada simpanan, di samping menerima pencen bulanan pada umur persaraan,” katanya.
Laporan itu menyatakan perlindungan sosial akan diperkukuh untuk semua pekerja bagi memastikan ia lebih menyeluruh, termasuk risiko kehilangan kerja dan kemalangan.
Perundangan khusus untuk pekerja gig juga akan digubal bagi menjamin kebajikan pekerja gig, termasuk hak untuk bekerja dalam suasana yang selamat, sihat dan kondusif.
“Perlindungan daripada bencana pekerjaan pula akan ditambah baik untuk meliputi kemalangan di luar waktu bekerja dan bukan berkaitan kerja.
“Perkhidmatan rehabilitasi dan pemulihan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) juga akan diperluas bagi membolehkan pekerja yang ditimpa kemalangan menerima rawatan yang diperlukan dan kembali bekerja,” katanya.\
Baca juga: MP Pas padam posting, mohon maaf tuduh PMX pakai baju batik Indonesia