Sakit perut jadi petanda Tia Jinbara hidap kanser hati, isteri bersedia derma organ

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, sakit perut berpanjangan yang dipandang remeh rupanya menjadi petanda bahawa bekas vokalis kumpulan Jinbara, Tia menghidap barah hati.

Tidak dapat lagi menahan rasa sakit, pemilik nama penuh Shamsul Bakhtiar Zakaria itu dikejarkan ke Hospital Shah Alam pada Rabu lalu oleh isterinya, Suzan Ahmad.

Sejurus menjalani pelbagai pemeriksaan termasuk ujian prosedur imbasan tomografi berkomputer (CT Scan), doktor mengesahkan Tia menghidap penyakit barah hati.

Walaupun berada dalam keadaan stabil, Suzan memaklumkan bahawa suaminya itu perlu melakukan pembedahan pemindahan hati dengan kadar secepat mungkin.

Difahamkan, pembedahan yang bakal dijalani di India itu adalah jalan terakhir bagi Tia memandangkan hatinya tidak boleh lagi berfungsi seperti biasa, lapor Mstar.

Namun, pasangan itu masih memerlukan bantuan kewangan bagi membayar kos pembedahan meskipun Suzan bersedia untuk mendermakan hatinya kepada suami.

“Abang Tia memerlukan bantuan RM250,000 dengan secepat mungkin untuk lakukan pembedahan pemindahan hati. Ini kerana dia sudah tidak sesuai dengan rawatan lain.

“Hatinya sudah tidak berfungsi. Kalau tidak dapat duit dengan segera, takut keadaan makin teruk dan tidak dapat terbang ke India untuk melakukan pembedahan.

“Saya sendiri yang derma hati saya. Saya harap semua dipermudahkan dan diluluskan,” jelas Suzan yang turut bergelar pengurus kepada Tia Jinbara memetik laporan Mstar.

Pada masa yang sama, Suzan berharap agar orang ramai atau mana-mana syarikat sudi membantu menyalurkan bantuan bagi memudahkan urusan pembedahan Tia.

“Peminat-peminat atau sesiapa mahupun syarikat ada yang bermurah hati untuk menderma atau menaja, dipersilakan. Kami amat memerlukan dalam kadar yang segera.” Pohonnya.

Terdahulu, Tia dikejarkan ke hospital Rabu lalu selepas mengadu sakit perut sebelum pakar di Hospital Shah Alam mengesahkannya menghidap barah hati tahap empat.

Baca juga: “Jaga diri kau jangan sampai jadi sun**l!”, Che Ta bidas netizen yang label Aaisyah ‘pick me girl’