Negara semalam dikejutkan dengan pemergian Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub.
Mengundang kesedihan, kehilangan seorang tokoh politik yang disenangi ramai itu diratapi oleh seluruh rakyat Malaysia.
Menzahirkan kedukaan mereka terutamanya di laman media sosial, pemergian Salahuddin itu diiringi dengan limpahan ucapan takziah dan doa.
Pengguna media sosial juga tidak lupa untuk mengenang jasa dan sumbangan Salahuddin dalam membantu golongan berpendapatan rendah.
Buktinya, nama Salahuddin Ayub dan perkataan Rahmah telah menjadi ‘trending’ di laman Twitter dengan masing-masing mencatat puluhan ribuan ciapan.
Rata-rata pengguna mengaku inisiatif menu rahmah yang diperkenalkan Salahuddin cukup meninggalkan kesan pada rakyat yang kurang berkemampuan.
“Pernah sekali duit tinggal RM7 untuk makan. Terjumpa kedai ada jual Menu Rahmah. Kenyang makan. Terima kasih DS Salahuddin, Al-Fatihah,” kongsi seorang pengguna.
“Al-Fatihah, Datuk Seri Salahuddin Ayub, pencetus Menu Rahmah. Selepas ini, setiap menu rahmah yang saya beli akan diiringi doa untuk beliau.” Kata pengguna lain.
Inisiatif Menu Rahmah mula dilaksanakan kerajaan pada 31 Januari lalu khusus untuk membantu rakyat dari golongan B40 yang berpendapatan rendah.
Kesannya, rakyat dapat menikmati makanan yang seimbang dan berkhasiat dengan hanya berbekalkan wang tunai sebanyak RM5.
Susulan pengenalan inisiatif ini, pemain industri dari pelbagai sektor mula berminat untuk menawarkan perkhidmatan mereka pada harga yang mampu milik.
Terdahulu, Salahuddin dilaporkan meninggal dunia pada jam 9.23 malam semalam ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah.
Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu dikejarkan ke HSB pada Jumaat lalu, selepas mengadu tidak sihat serta muntah-muntah.
Pakar perubatan kemudian mengesahkan bahawa terdapat pendarahan di bahagian otak sebelum menjalankan pembedahan segera ke atas Salahuddin.
Setelah selesai menjalani pembedahan, Salahuddin dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB sebelum disahkan meninggal dunia.
Baca juga: Penghormatan terakhir pagi ini, jenazah Salahuddin bakal dikebumi tengah hari