Sami menang ‘jackpot’ RM2.2 juta, dakwa duit milik malaikat, siap berkongsi dengan orang ramai

Oleh KIM SYAZIE


Seorang sami di Thailand menganggap duit yang dimenangi daripada loteri adalah milik malaikat yang memberkatinya.

Menurut TheThaiger, sami tersebut mendakwa malaikat memberkatinya kerana dia telah menjaga kuil dan Phra That Phanom selama lebih 10 tahun.

Tidak kedekut, sami yang bergelar jutawan dari kemenangan tersebut memilih untuk memberi wang kepada masyarakat atas tujuan kebaikan.

Walaupun mengetahui sami tidak boleh menyertai sebarang aktiviti perjudian, namun dia tetap melakukan hal tersebut dengan niat membantu peniaga yang bergelut dengan masalah kewangan.

Sami berusia 47 tahun itu juga mendakwa kemenangannya adalah milik malaikat maka dia tidak mahu menyimpan duit demi kepentingan sendiri sahaja.

Disebabkan itu, dia memutuskan untuk berkonsi wang kemenangan tersebut dengan mereka yang memerlukan.

Lebih 1,000 penduduk di kawasan wilayah utara Thailand berbaris untuk mendapatkan derma sebanyak 200 baht (RM26.55) setiap seorang.

Namun kerana barisan yang panjang, pihak polis dikatakan telah memantau acara tersebut bagi mencegah penularan wabak COVID-19.

Selain memberikan wang kepada masyarakat setempat, sami itu juga menawarkan 4 juta baht (RM530,987) kepada pengurusan kuil, sekolah, organisasi negeri dan swasta.

Dia turut merancang untuk memberi wang tersebut kepada badan amal dan kuil-kuil yang memerlukan.

Walaupun niat untuk membantu orang ramai, ada sami mengatakan bahawa ini adalah perbuatan yang tidak wajar kerana membeli tiket judi dikira melanggar etika dan peraturan sami Buddha.

Baca juga: Pakai jubah lusuh tapi bayar zakat RM1 juta, amil terkejut, ingatkan fakir miskin