Sanggup naik bas seorang diri dari Taiping, wanita sebak dapat jumpa Tunku Azizah ketika sambut merdeka

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak dapat menahan sebak ketika diberi peluang bersalaman dengan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Lama menyimpan hasrat untuk bersua muka dengan Tunku Azizah, wanita yang dikenali sebagai Mumtaz itu merasa sangat terharu apabila impiannya akhirnya tercapai.

Tampil berkongsi cerita, Mumtaz rupanya datang ke Dataran Putrajaya dengan menaiki bas seorang diri dari Taiping, Perak untuk menghadiri sambutan kemerdekaan.

Sampai di Kuala Lumpur sekitar pukul 4 pagi pada 31 Ogos lalu, Mumtaz memutuskan untuk berehat di hotel seketika sebelum menaiki tren ke Putrajaya selepas waktu Subuh.

Perjuangan Mumtaz itu bagaimanapun berbaloi apabila dia menjadi antara ratusan ribu rakyat yang bertuah kerana dapat bersalaman dengan Raja Permaisuri Agong.

Tular di media sosial, detik Mumtaz mengalirkan air mata ketika bersalaman dengan Tunku Azizah itu sempat dirakam dan dikongsi di akaun Instagram rasmi Istana Negara.

Memetik laporan Mstar, Mumtaz yang tidak menyangka bahawa aksinya sempat dirakam itu mengakui terpaksa bersesak-sesak sebelum akhirnya berjaya untuk bersalaman dengan Tunku Azizah.

“Bila acara hampir tamat, saya nampak orang berebut-rebut nak ke depan. Hairan juga dan akhirnya ada beritahu, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan menyantuni rakyat.

“Saya yang memang dah lama pasang niat untuk jumpa Seri Paduka Baginda secara bersemuka terus bergerak dan meminta laluan orang ramai yang berasak-asak nak ke depan.

“Alhamdulillah dapat juga bersalaman dengan Tunku Azizah. Saya sendiri tak sedar sampai mengalir air mata sebab terharu. Tak sangka detik itu dirakam dan dimuat naik di media sosial hingga viral,” katanya.

Rela berpanas demi menonton sambutan kemerdekaan sehingga acara tersebut tamat, pemilik nama penuh Mumtaz Diana Mohammed Arshad itu langsung tidak merungut.

Malah, wanita berusia 31 tahun itu merasa sangat puas kerana dapat mencipta memori indah yang tidak mungkin boleh dilupakan untuk sepanjang hayat.

Baca juga: Adik beradik bilionair Malaysia bakal lancar projek kediaman mewah di Singapura bernilai RM8.5 bilion