Walaupun sudah mencecah usia 57 tahun, pelakon dan pelawak terkenal Saiful Apek masih aktif melayan peminat di media sosial.
Menariknya, setiap balasan diberikan juga bukan biasa-biasa, malah penuh dengan kata-kata positif
Jelas Apek, dia mengakui bimbang akan segelintir individu yang meluahkan hasrat melakukan tindakan drastik akibat tekanan perasaan lapor Kosmo! Online.
“Saya tengok banyak masalah-masalah kritikal, bunuh diri atau putus asa. Ada yang sampai kata nak lari daripada mak bapak dan nak terjun bangunan.
“Ada yang cakap mereka sudah penat. Saya cakap, kalau sudah penat sebenarnya bukan kau yang penat, jantung kau yang penat.
“Saya tak tahu, kadang-kadang mungkin terlalu berat benda itu. Tapi saya risau juga dengan kata-kata saya sebab ada masanya terlalu berat dan mengejutkan,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.
Saiful Apek mengakui dia tersentuh apabila mengetahui perkongsian ringkas dimuat naik di Threads mampu memberi impak besar kepada kehidupan pengikutnya.
Kongsinya, ada individu memaklumkan hubungan dengan ibu yang sebelum ini renggang kembali pulih selepas membaca kata-kata positif dikongsikannya di media sosial.
Menurutnya, kejayaan dikecapi hari ini bukan hadir dalam sekelip mata kerana dia sendiri pernah melalui pelbagai fasa sukar.
“Saya nak benda itu jadi satu tamparan supaya orang jelas dan mula ambil ‘baby step’ untuk bangkit balik. Anda kena ingat, Saiful Apek bukan jadi dalam satu hari.
“Tak ada orang tiba-tiba tengok saya terus berada di atas. Apa yang saya nampak dekat mereka adalah diri saya satu ketika dulu.
“Saya pernah jadi gelandangan, makan sisa orang, dihina, diherdik dan difitnah. Semua itu saya sudah lalui, jadi sekarang orang nampak hasilnya macam mana,” kongsinya.
Baca juga: Anwar umum peruntukan RM5 juta untuk perkasa pembangunan belia, salur melalui MBM