Sebahagian besar pesara habiskan wang KWSP dalam masa 5 tahun – kajian

Oleh KIM SYAZIE

Sebahagian besar pesara menghabiskan simpanan persaraan mereka dalam tempoh lima tahun sahaja, satu dapatan yang agak membimbangkan.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dalam satu kenyataan berkata, kajian yang dijalankan pihaknya mendapati kebanyakan simpanan hari tua licin dalam tempoh yang singkat sehingga memaksa pesara mencari jalan untuk terus bertahan.

Penganalisis Kanan Institut Penyelidikan Pasaran Modal (ICMR), Nadhirah Ibrahim berkata, situasi berkenaan bukan rekaan, malah ia adalah cerminan kisah ribuan pesara di negara ini.

“Kajian yang dijalankan KWSP mendapati, sebahagian besar pesara menghabiskan simpanan mereka dalam masa singkat, memaksa mereka mencari jalan untuk terus bertahan.

“Ia diterjemahkan dalam watak Amy, watak dalam laporan ICMR, institusi di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bertajuk ‘Building Financial Security 2025’.

“Walaupun watak ini hanya rekaan, namun perjalanan hidupnya adalah realiti yang dihadapi ramai pesara terutamanya golongan berpendapatan sederhana,” katanya dalam kenyataan.

Berdasarkan laporan itu, Amy, seorang yang rajin bekerja dan yakin simpanan KWSP dimilikinya mencukupi, terkejut apabila duitnya habis dalam tempoh beberapa tahun saja selepas membuat pengeluaran sekali gus pada usia 55 tahun yang menyebabkan dia terpaksa kembali bekerja untuk menyara hidup.

Nadhirah berkata, kisah Amy harus menjadi teladan untuk mula menabung awal, dan kerana inilah dana asas dan kecemasan (ASAS) perlu dibina terlebih dahulu sebelum beralih kepada pelaburan lebih kompleks (RISE).

Melihat kepada cabaran dihadapi pesar, laporan ICMR mencadangkan kaedah dua peringkat, iaitu ASAS (asas) dan RISE (tingkatkan), bagi persediaan persaraan yang lebih efektif yang menekankan penggunaan sokongan yang praktikal dan mudah dicapai.

ASAS berfungsi sebagai lapisan dasar yang menggunakan instrumen kewangan selamat, murah, dan mudah diurus seperti caruman KWSP atau i-Saraan yang menjadi perlindungan utama tanpa mengira saiz pendapatan

Tanpa mengira pendapatan besar atau kecil, setiap individu memerlukan asas ini untuk perlindungan diri. Apabila pendapatan meningkat, barulah ada ruang untuk menambah baik pilihan pelaburan.

Pada tahap ini, individu boleh mula meneroka opsyen pelaburan seperti unit amanah, Dana Dagangan Pertukaran (ETF), atau pilihan lain sebelum beralih ke pelaburan lebih kompleks (RISE).

“Paling penting mula secara kecil-kecilan, bina tabiat baik, dan jauhi skim ‘cepat kaya’,” katanya.

Baca juga: Mat Sabu buktikan tanam bawang di rumah menjadi