Usahawan dan selebriti, Asyraf Khalid tampil dalam satu sidang media baru-baru ini meluahkan rasa kecewa atas tindakan seorang pempengaruh yang didakwa bertindak menyerang peribadinya.
‘Serangan’ yang dilakukan menerusi hantaran di platform media sosial itu didakwa memberi impak negatif kepada Asyraf termasuklah menjadi mangsa ‘body shaming’ atau kecaman berhubung fizikal bentuk badan.
Asyraf kini difahamkan sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang berikutan kontroversi yang berlaku telah menjejaskan imej dan periuk nasinya sebagai ahli perniagaan.
Pempengaruh yang juga aktivis sosial, Caprice kemudian memberikan maklum balas dengan mempersoalkan tindakan Asyraf menggelarkan dirinya sebagai selebriti dalam sesi sidang media tersebut.
Hal ini berikutan Caprice yang juga merupakan penyanyi rap itu berpendapat bahawa usahawan berusia 33 tahun terbabit bukanlah seorang selebriti kerana tidak bergelar pelakon mahupun penyanyi.
Pemilik nama sebenar Ariz Ramli itu turut memberikan contoh dengan menamakan beberapa artis terkenal yang disifatkan sebagai sebagai selebriti dalam video berdurasi dua minit dua saat dimuat naik di platform sosial media.
“Saya cuma nak tahu, sejak bila awak ini selebriti? Adakah anda seorang pelakon atau mungkin penyanyi? Adakah anda adalah penyanyi rap atau mungkin ‘supermodel’ (peragawan)? Siapa tahu.
“Saya tak tahu. Ini (Asyraf bergelar selebriti) adalah berita untuk saya. Sejak bila dan celah mana awak ini selebriti?Biar saya beritahu awak apa yang dipanggil selebriti untuk membantu awak.
“Jika awak tak fahamlah. Fattah Amin, Izara Aishah, M Nasir dan Datuk Siti Nurhaliza, itu betul selebriti,” jelas Caprice dalam rakaman tersebut sebagai maklum balas kepada sidang media dilakukan Asyraf.
Caprice bagaimanapun merasakan dirinya layak dipanggil sebagai selebriti kerana bergelar penyanyi rap menerusi beberapa buah lagu selain turut dikenali ramai terutama sewaktu berada di tempat awam.
Dalam perkongsian yang sama, Caprice juga memberikan pandangan bahawa sidang media dilakukan oleh Asyraf bukanlah langkah bijak dan meminta usahawan terbabit memecat pekerjanya.
“Orang cakap Caprice ini poyo. Tetapi setiap kali ke mana-mana, orang akan minta bergambar dengan saya. Seperti di lapangan terbang tadi, ada yang memanggil saya ajak ambil gambar. Itu tahap saya.
“Asyraf saya sarankan, sesiapa yang beri idea untuk buat sidang media ini, tolonglah pecat dia. Ini adalah idea yang sangat teruk. Kalau ini idea awak, tolong pecat diri sendiri,” kata pempengaruh terbabit.
Namun sebelum rakaman berakhir, Caprice memberitahu bahawa dirinya akan menghubungi Asyraf secara peribadi dan memberi bayangan bahawa masalah antara mereka mungkin akan diselesaikan dengan baik-baik.
Terdahulu, Caprice meluahkan rasa ketidakpuasan hatinya ekoran tindakan Asyraf menjemput seorang lelaki yang didakwa pernah mencederakan beberapa individu sebagai tetamu dalam program audio siar kendaliannya iaitu Apa Cerita.
Penyiaran rakaman program tersebut segera dibatalkan namun Asyraf tetap menjadi sasaran kecaman pengguna media sosial termasuk dituduh sebagai pedofilia sehingga usahawan itu terfikir untuk mengambil tindakan undang-undang.
Baca juga: Tiada lagi video masakan? Che Nom umum tutup buku, mahu undur diri dari dunia ‘influencer’