Personaliti media sosial yang namanya tidak asing lagi dalam dunia masakan Malaysia iaitu Che Nom mengumumkan pengunduran dirinya dari dunia “influencer marketing”.
Che No. atau nama sebenarnya Normah Bakar, 43, meluahkan realiti perit sebagai seorang pempengaruh yang harus bersaing demi mendapatkan ‘job’.
Lebih 10 tahun dalam dunia penciptaan kandungan, Che Nom berkongsi kepada pengikutnya mengapa “influencer marketing” bukan lagi bidang yang dia hendak teruskan.
Menurutnya, kehadiran lebih banyak pempengaruh masa kini menyebabkan berlakunya perang harga iaitu sanggup menurunkan harga pasaran untuk mendapatkan kontrak pekerjaan.
“Ramai ingat jadi pempengaruh ini senang tapi realitinya makin lama makin perit.
“Terlalu ramai pempengaruh sekarang. Berlaku ‘price war’—semua turunkan harga sebab nak dapat job. Tapi bila harga makin rendah, kualiti pun terjejas.
“Pelanggan yang bayar tinggi biasanya dari syarikat besar antarabangsa, dan ada yang dikaitkan dengan isu yang kita sendiri rasa berat nak sokong,” kongsinya
Pada masa sama, Che Nom berkata dia berdepan dengan cabaran untuk memenuhi ekspektasi klien dalam keadaan jumlah tontonan dan kebolehan ia tular bergantung kepada algoritma.
“Kita tak boleh janji angka. Walaupun kita usaha sehabis baik, hasilnya tetap tak tentu.
“Nak deliver video untuk klien bukan senang. Kena ikut brief, sunting banyak kali, ikut tarikh akhir. Semua ini perlukan pengalaman kerja profesional, bukan sekadar minat,” katanya lagi.
Atas sebab itu dia menyarankan generasi yang lebih muda yang minat untuk menjadi seorang pencipta kandungan, untuk beri komitmen kepada pelajaran dahulu dan menimba pengalaman kerja di tempat yang mempunyai sistem serta disiplin.
Ujarnya, dunia pempengaruh ini bukan jalan pintas cari duit kerana tanpa asas kukuh, seseorang itu boleh terbeban dengan tekanan.
“Dengan itu, Che Nom nak umumkan Che Nom akan berhenti dari influencer marketing. Dah sampai masa untuk tutup buku bab ini,” katanya.
Che Nom sejak kebelakangan ini sering memuat naik hantaran mengenai cabaran sebagai pempengaruh, termasuk untuk mengekalkan rating di YouTube yang kini sudah tidak ramai menonton video panjang dari platform tersebut.
Dia juga sebelum ini memberitahu tidak akan sesekali menceburi dunia TikTok, mengetahui cabaran yang lebih besar untuk bersaing dengan pempengaruh yang lain.
Baca juga: Kiriman pesanan suara Siti Nurhaliza ‘asbab’ pemuda beri respons positif, sedar dari koma