Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melahirkan rasa amat kecewa terhadap dua individu yang membuat laporan palsu berhubung kehilangan diri sendiri.
Ini menyebabkan pasukan penyelamat mengerah sumber besar-besaran untuk misi yang akhirnya sia-sia lapor Sinar Harian.
Penguasa Kanan Bomba II, Norshuhada Amsari berkata tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja membahayakan anggota penyelamat, malah menyebabkan agensi kerugian dari segi masa, tenaga dan aset.
“Kami rasa sangat terhina. Lebih 10 kali anggota kami menyelam dalam sungai berlumpur dengan jarak penglihatan yang amat rendah.
“Mereka mempertaruhkan nyawa kerana percaya ada nyawa lain yang perlu diselamatkan,” tegasnya seperti dipetik Sinar Harian.
Operasi selama beberapa hari di kawasan Sungai Tui, Bukit Kepong dijalankan berdasarkan laporan yang akhirnya terbukti palsu.
Kes ini melibatkan pempengaruh permotoran Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, dan adiknya, Tengku Abdul Aziz, 30.
Lebih memburukkan keadaan, menurut Norshuhada, tindakan dua beradik itu telah menjejaskan operasi lebih kritikal.
Ini termasuk satu kes melibatkan mangsa sebenar yang terjatuh dari jambatan di Sungai Gersik hanya beberapa hari selepas kejadian palsu itu.
“Kesan kepada kami bukan kecil. Bot, peralatan selam, bahan api, jentera dan dron digerakkan sepenuhnya.
“Kami kecewa kerana usaha dan kepercayaan masyarakat terhadap JBPM kini dipertaruhkan oleh individu yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya dalam kenyataan impak tiga muka surat yang dibacakan di Mahkamah Majistret.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara sebulan serta denda RM1,500 terhadap kedua-dua tertuduh selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mengemukakan maklumat palsu kepada penjawat awam di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
JBPM berharap hukuman ini menjadi pengajaran tegas kepada masyarakat bahawa mempermainkan pasukan penyelamat bukan jenaka.
Ia adalah satu pengkhianatan terhadap pengorbanan mereka yang mempertaruhkan nyawa demi keselamatan orang lain.
Baca juga: Warga Bangladesh di Malaysia raih gaji RM5,200 sebulan sebagai ‘supervisor’