Seorang wanita bergelar kakak berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas berkongsi gambar pakaian jersi yang dibeli oleh adiknya bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan pada Ahad ini.
Menerusi satu perkongsian dimuat naik di platform TikTok, wanita terbabit meluahkan rasa terkejut apabila melihat jersi berkenaan memiliki corak seperti bekas tapak kaki di bahagian atas bendera Jalur Gemilang.
Bukan setakat itu, baju jersi berkenaan turut terkandung maklumat yang salah tentang kemerdekaan negara dengan memaparkan tahun pembentukan Malaysia iaitu ‘sejak 1963’ sebagai tempoh tanah air ini meraih kebebasan.
Namun perkara yang lebih mengejutkan adalah kesalahan ejaan walaupun hanya melibatkan satu huruf berhubung tema sambutan kemerdekaan pada tahun lalu iaitu ‘Malaysiakan Jiwa Merdera’,
Sedangkan perkataan sebenar adalah Jiwa Merdeka menunjukkan bahawa rekaan baju jersi yang dibeli oleh adik wanita terbabit menerusi platform jualan atas talian itu mempunyai banyak kesalahan.
“Maaf, nak minta pandangan kamu semua. Adik saya ada beli baju Merdeka dekat TikTok Shop. Betul tak rekaan baju ini nampak macam kena pijak dengan tapak kasut? Dekat bendera Malaysia pula itu.
“Bila masa pula Merdeka tahun 1963? Jiwa merdera ke merdeka? Sudah tengah malam baru perasan,” katanya mengenai baju jersi yang dipercayai baru dibeli walaupun membawa tema sambutan merdeka pada tahun lalu.
Lebih mengejutkan, tinjauan di ruang komen perkongsian itu mendapati orang ramai dapat mengesan lebih banyak kesalahan dalam rekaaan jersi tersebut termasuklah melibatkan gambar Jalur Gemilang.
Difahamkan, jumlah jalur bendera yang dipaparkan di dalam baju itu dikatakan tidak mencukupi iaitu 11 jalur merah dan putih sedangkan bilangan sebenar adalah 14 melambangkan 13 buah negeri dan satu kerajaan persekutuan.
Tidak cukup dengan itu, jumlah bucu pada bintang dalam Jalur Gemilang yang sepatutnya memiliki 14 penjuru melambangkan perpaduan 13 buah negeri dan Wilayah Persekutuan pula kekurangan satu.
Sehubungan dengan itu, wanita terbabit diminta untuk melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta platform TikTok sendiri.
Ramai juga pengguna TikTok berkongsi pendapat bahawa jersi tersebut mungkin ditempah daripada syarikat luar negara yang menawarkan harga cetakan lebih murah menyebabkan kesalahan sedemikian timbul.