“Seminggu dia balun kita setengah mati” – Anwar

Oleh ROSLAN ZAMAN

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menjelaskan beliau tidak mengeluarkan sebarang kenyataan balas berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara dan hakim atasan lain atas sebab menghormati prosedur pemilihan.

Anwar berkata, minggu lalu beliau ditomah secara berterusan kerana didakwa merosakkan badan kehakiman.

Namun kata beliau, apa yang dilaksanakan adalah berlandaskan sistem semak dan imbang seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

“Seminggu dia (pembangkang) ‘balun’ kita setengah mati, kata Anwar perosak badan kehakiman, tetapi hakim mana yang saya buang? Hakim mana yang kena pecat? Tak ada.

“Saya nak jawab tak boleh sebab pelantikan hakim membabitkan perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

“Prosesnya (adalah) saya dapatkan nama (calon hakim) daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), timbang, bawa kepada YDPA dan bila diperkenan ia akan dibincangkan dalam Majlis Raja-Raja (MRR)”, katanya.

Tambah perdana menteri lagi, proses seterusnya beliau harus menerangkan kepada Raja-Raja melayu untuk memberi penjelasan.

“Selepas itu saya kena berdepan dengan Raja-Raja untuk beri penjelasan, dipersetujui, YDPA tandatangan dan barulah saya boleh jawab,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pelan Induk Bumiputera, Tunas Madani dan Projek Perumahan JKPSB di Pulau Pinang semalam.

Sebelum ini, badan peguam Malaysia berhimpun di hadapan pejabat Perdana Menteri menununtut supaya krisis badan kehakiman dapat diselaikan dengan baik.