Semakin ramai rakyat Malaysia yang membeli kenderaan untuk memudahkan perjalanan ke pejabat ataupun untuk keluar bersama keluarga.
Dapat dilihat betapa banyaknya rakyat Malaysia yang memiliki kenderaan pada waktu puncak terutamanya di jalan utama.
Pemanduan yang berhati-hati bagaimanapun tidak dapat mengelakkan kemalangan daripada berlaku.
Tahukah anda, Malaysia berada di tangga ketiga dalam senarai negara di mana penunggang motosikal atau pemandu kereta berkemungkinan besar akan mati di jalan raya.
Dalam kajian yang dijalankan oleh perkhidmatan langganan kereta FINN, ia menganalisis jumlah kematian akibat kemalangan kereta di setiap negara.

Data ini turut meletakkan negara paling berbahaya mengikut kematian setiap 100,000 orang.
Malaysia adalah antara negara yang merekodkan statistik terburuk mengikut metrik yang disebutkan di atas.
Negara ini mencatatkan 22.48 kematian bagi setiap 100,000 orang dan meletakkan Malaysia sebagai negara ketiga dalam senarai negara yang orang akan mati di jalan raya.
Di tempat pertama adalah Arab Saudi dengan catatan 35.94 kematian jalan raya bagi setiap 100,000 orang.
Manakala jiran kita Thailand merekodkan 32.21 kematian jalan raya bagi setiap 100,000 orang.
Kajian yang sama juga menyenaraikan 20 jalan paling selamat di dunia, dengan Iceland mendahului carta dengan hanya 2.05 kematian yang direkodkan bagi setiap 100,000 orang.
Norway berada di tempat kedua dengan Switzerland, Ireland dan Sweden melengkapkan lima senarai jalan raya paling selamat di dunia.
Jepun ialah satu-satunya negara Asia yang berjaya masuk ke dalam senarai 10 jalan paling selamat dengan meletakkan diri di tempat ketujuh.
Metodologi kajian merangkumi negara anggota OECD dan negara maju dengan HDI melebihi lapan lapor The Vocket.
Manakala kematian bagi setiap penunggang motosikal atau pemandu kereta direkodkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia atau WHO.
Selain itu, WHO turut merekodkan peratusan kematian akibat tidak memakai tali pinggang keledar atau disebabkan alkohol.